Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sekali lagi menepis cerita-cerita mengenai permasalahan dalam BN negeri, sambil berkata parti-parti komponen di Sabah sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan saling berkerjasama antara satu sama lain.
"Dari mula lagi saya melihat tidak ada masalah sebenarnya yang berlaku dalam BN Sabah. Kita sentiasa bersatu, bekerjasama dan faham memahami dan menghormati antara satu sama lain.
"Mungkin ada orang tertentu (berlainan pendapat), tapi bagi kita saya katakan yang penting bukan individu tetapi perjuangan parti...Jadi kita sedia berunding, kita sedia berbincang, tidak ada masalah," kata Musa yang juga pengerusi BN Sabah ketika ditemui di rumah terbuka Hari Raya anjuran Umno bahagian Kota Kinabalu hari ini.
Musa diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong semalam, yang menggesa parti-parti komponen BN negeri mengetepikan perselisihan dan bekerjasama untuk terus mendapatkan sokongan rakyat Sabah, supaya sama-sama memastikan kemenangan di pilihan raya umum akan angdatang.
Liew membuat gesaan itu sebagai respon terhadap nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengamalkan prinsip kerjasama dan semangat BN ketika menangani masalah dengan rakan komponen BN yang lain.
Timbalan presiden LDP Datuk Chin Su Phin baru-baru ini menyuarakan ketidakpuashatian, di mana katanya mereka tidak dapat bekerjasama dengan Musa namun akan terus bekerjasama dengan Umno dan setia dengan BN.
Berikutan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin mengumumkan beliau berundur daripada LDP dan meletakkan jawatan sebagai naib presiden parti itu. Musa mengekalkan beliau dalam kabinet negeri buat masa ini sehingga perbincangan antara rakan komponen lain dibuat.
"Seperti apa yang saya katakan selalu, apa juga masalah dalam BN kita boleh bincang bersama dan selesaikan bersama.
"Yang penting saya katakan khususnya kepada ahli-ahli Umno, bahawa kita mesti mengutamakan perjuangan parti bukannya mementingkan peribadi...supaya apa juga masalah yang ada kita boleh selesaikan dengan baik, itu cara kita," tegas Musa.
Ditanya sama ada beliau memberi tarikh akhir kepada Pang untuk menyertai mana-mana parti, Musa berkata tidak ada tempoh masa diberikan.
Sementara itu setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika ditanya tarikh mesyuarat BN negeri yang seterusnya, berkata mereka belum lagi memilih tarikh tetapi akan mengadakannya selepas memperhalusi penubuhan jawatankuasa kecil yang telah dipersetujui pada mesyuarat 24 Ogos lalu.
"Mesyuarat BN akan datang akan mengemukakan struktur jawatankuasa kecil itu, yang akan mengambil sedikit masa kerana kini Hari Raya, apabila ia telah dilakukan saya pasti kita akan memanggil mesyuarat BN negeri akan datang," katanya.
Jawatankuasa kecil itu dikatakan akan membincangkan isu-isu penting berkenaan Sabah, seperti masalah pendatang tanpa izin (Pati).
Abdul Rahman juga menjelaskan setiap komponen parti diberikan masa yang cukup untuk menyuarakan pendapat masing-masing dalam mesyuarat BN negeri itu, namun terdapat kekangan masa untuk membincangkan semua isu.
"Anda mesti faham bahawa perbincangan secara terbuka diadakan antara Pengerusi BN negeri (Musa) dan parti komponen lain pada setiap masa, jadi ia bukan hanya dalam mesyuarat BN (mereka boleh cakap)," katanya.
Chin mendakwa antara sebab LDP tidak sanggup bekerja denga Musa adalah kerana tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat pada 24 Ogos lalu, di mana pandangan pemimpin komponen lain tidak mendapat ruang.
--Bernama