Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selagi kerajaan tidak mengutamakan mengutamakan sistem keadilan yang bersih, bebas rasuah dan kepimpinan yang meyakinkan, negara akan terus kehilangan pelaburan asing.
Ketua Umum PKR itu berkata, walaupun kerajaan membuat pembentangan serta perincian dasar ekonomi tetapi ia didakwa akan terus disambut dingin oleh pelabur kerana ia merupakan perkara yang mendasar.
"Malangnya hakikat ini terus dinafikan elit pemerintah walau rakyat jelatalah yang menderita menahan beban," katanya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata Laporan Bank of America Merill Lynch berkaitan pasaran negara begitu membimbangkan apabila Malaysia didapati antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik.
"Sungguhpun kerajaan cuba memberi gambaran yang serba indah, hakikatnya Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan sebelum ini iaitu di tangga ke 10, dan kini di kedudukan tercorot.
"Pastinya berita ini menerbitkan rasa bimbang saya berhubung kedudukan ekonomi semasa negara tatkala kononnya pentadbiran Datuk Sri Najib (Razak) akan mengemukakan satu kebijakan ekonomi yang diwar-warkan bertujuan menarik minat pelabur," katanya.
Katanya, perkara mustahak yang wajar diberi perhatian adalah pandangan pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran seperti Indonesia - yang menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia melonjak sepuluh anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara.
"Berikutan perkembangan sebeginilah kita sangsi perincian Model Baru Ekonomi yang bakal diumumkan perdana menteri mampu memulihkan ekonomi negara yang lembap ini," kata bekas menteri kewangan itu.
Anwar berkata, hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM 2.2 trilion dalam masa sepuluh tahun - yang mana 92% dari jumlah itu datang dari pelaburan swasta - pastinya menimbulkan kemusykilan tatkala pelabur menjauhi pasaran kita.