DAP hari ini membuat laporan polis ke atas akhbar harian Utusan Malaysia dan bekas pemimpin pemuda PKR kerana cuba mengaitkan pembunuhan jutawan kosmestik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dengan ahli parti itu.
ADUN Komtar Ng Wei Aik ( kanan ) yang memfailkan aduan itu di ibu pejabat polis Jalan Patani berkata dakwaan dan laporan yang dibuat oleh naib ketua pemuda PKR Mohd Zahid Md Arip dan Utusan adalah “tanpa asas dan bertujuan memburuk-burukkan DAP”.
"Suspek itu tidak pernah menjadi ahli DAP, apa lagi menjadi ahli seumur hidup,” kata Ng kepada pemberita. Katanya, sesetengah pihak cuba menjadikan pembunuhan itu sebagai isu perkauman di negara ini.
Ng, yang juga setiausaha pemuda DAP Pulau Pinang mendesak polis menyiasat akhbar itu dan Mohd Zaid yang meninggalkan PKR pada tahun 2006 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi memfitnah membawa hukuamn maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Utusan Malaysia
pada 16 September lalu memetik Mohd Zahid yang melabelkan DAP sebagai “hiprokit” kerana lambat membidas pembunuh Sosilawati dan tiga yang lain.Berikut petikan dua perenggan yang menjadi pertikaian itu:
Mohd Zahid mempersoalkan kenapa DAP langsung tidak bersuara bagi mengutuk pembunuhan kejam tersebut, sedangkan sebelum ini parti berkenaan gah mendakwa organisasi mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua pihak.
Mohd Zahid juga dilaporkan berkata: "Apakah tindakan membisu ini mempunyai kaitan dengan dakwaan yang mengatakan bahawa suspek utama adalah ahli seumur hidup parti tersebut. Jika benar (dakwaan itu), ternyata DAP sebuah parti hipokrit yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum tertentu sahaja."
Mohd Zahid sekarang ini adalah ahli majlis tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
Sementara itu, naib pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw memberitahu Harian Metro semalam bahawa dakwaan suspek pembunuhan itu adalah ahli seumur hidupnya adalah palsu. Tan juga menafikan laporan kononnya suspek itu seringkali membuat sumbangan kewangan kepada parti itu.
"Dakwaan itu bertujuan merosakkan imej parti,” katanya sambil menambah bahawa pemilihan anggota DAP dilakukan dengan tegas dan ia bukan tempat untuk penjenayah.
[Baca berita penuh]