Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada mahkamah boleh cabar pelantikan Sultan
Diterbitkan:  Sep 14, 2010 4:01 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

tengku faris kelantan 130910 Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.                 

“Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra semalam yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Beliau berkata, pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.                

“Ini merupakan suatu perkara yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 ekoran ketidak upayaan Sultan Ismail (berikutan kegeringannya)," katanya.

Keterangan perubatan

Beliau mendakwa, tetuan Rashid telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan untuk membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.            

“Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no.1 2010 dan petisyen no.2 2010 terbabit,” katanya.

tengku faris kelantan 130910 Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.

Mohd Shukri mendakwa, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan oleh Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.

Shad Saleem Faruqi: Boleh dicabar

Di Kuala Lumpur , pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perkara 63, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, sebarang kekeliruan tentang pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan boleh diperjelaskan di bawah Mahkamah Persekutuan.

islamic famly law forum 240106 shad saleem faruqul Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

"Peruntukan Perkara 23(A) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan

(Bahagian Yang Kedua) jelas menyatakan jika siasatan mendapati raja mempunyai kecacatan besar sehingga menjejaskan keupayaan memerintah, Majlis Perajaan Negeri (MPN) berhak mencari pengganti sultan.

"Walau bagaimanapun, saya pasti perkara ini akan dipersoalkan oleh pihak tertentu iaitu sama ada pindaan Perkara 23(A) pada 22 Julai lalu dilakukan di bawah keadaan sah atau tidak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar Kelantan yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Langgar perlembagaan negeri

Bagaimanapun, pemasyhuran tersebut dipertikai kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang mendakwa pelantikan anak saudaranya itu tidak memenuhi syarat dan melanggar perlembagaan negeri.

azlan Situasi tersebut sekaligus menyebabkan krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing dan beberapa anggota kerabat yang menyokong Sultan Ismail Petra bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Khas Raja-Raja di Putrajaya.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ( bawah, kiri ) menegaskan setiap negeri di Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan setiap kes harus ditangani mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub.

"Saya rasa yang paling penting, sejak 31 ogos 1957, setiap raja di negara ini telah menjadi Raja Perlembagaan dan perlembagaan tersebut haruslah dipatuhi.

walkout suhakam 120606 khoo kay kim "Walau bagaimanapun, sekiranya pihak yang menimbulkan keraguan berjaya membuktikan pelantikan tersebut tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan, maka ia tidak sah dan mahkamah berhak menentukan tindakan seterusnya," katanya.

PAKATAN sambut baik

Sementara itu, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (PAKATAN) melahirkan rasa syukur atas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan baru semalam.

Presidennya Datuk Dr Noordin Ab Razak berkata keprihatinan tinggi Tuanku terhadap rakyat jelata di samping mementingkan keadilan dan kebajikan hamba rakyat menyebabkan persatuan tersebut melahirkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap pemerintahan baru tersebut.

"Sebagai rakyat Kelantan yang berada di perantauan, kami berasa amat berbangga dan bertuah sekali berpayung di bawah naungan Tuanku.

"Sikap penyayang Tuanku terhadap rakyat terbukti dengan penganjuran program-program kebajikan seperti pengurniaan zakat kepada orang-orang miskin yang terdapat di seluruh jajahan di negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Noordin turut berkata PAKATAN akan sentiasa bersedia untuk membantu apa yang terdaya dalam mengangkat kembali taraf Kesultanan Kelantan yang sentiasa dijunjung dan disayangi.

NONE "Sesungguhnya kami sebagai rakyat jelata, amat yakin Tuanku akan dapat memajukan dan memakmurkan lagi negeri Kelantan dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan, pegawai-pegawai dan juga rakyat sekalian," katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub turut mengucapkan tahniah kepada Tuanku Muhammad Faris Petra atas pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan.

"Warkah ikhlas yang tidak sepertinya ini adalah sebagai pengganti diri daripada patik diutus dengan hasrat mengucapkan sembah tahniah di atas pemasyhuran yang memegang tahta Al-Sultan Kelantan yang ke–29 pada hari semalam," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu dalam satu kenyataan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS