Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang diperkenalkan pada April tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah mencapai hasil signifikan menerusi pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Pengarah komunikasi bagi GTP di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri, Alex Iskandar Liew, berkata indeks jenayah keseluruhan pada Januari hingga Ogos menurun 16.24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jenayah jalanan turut menyaksikan penurunan signifikan ke 37 peratus dalam tempoh sama, katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung kemaskini prestasi GTP baru-baru ini.
Liew berkata hasil positif ini dipandu oleh, antara lain, kehadiran anggota polis (2,026 sehari), tindakan gigih di pelbagai kawasan panas jenayah, pemobilisasian 372,550 anggota Rakan Cop, 105,850 anggota skim rondaan sukarela di samping penugasan semula 6,791 personel polis ke barisan depan dan 3,814 anggota awam mengendali tugas meja.
Di bidang pendidikan, tambahan seramai 54,569 kanak-kanak telah mendapat manfaat dari 1,358 kelas pra sekolah dan semua sekolah rendah dan menengah dalam negara telah diberi ranking dan telah mengemukakan rancangan masing-masing demi mempertingkat prestasi mereka dalam Program Penambahbaikan Sekolah (SIP).
Berhubung infrastruktur asas luar bandar, 469km jalan telah disiapkan, 1,664 rumah dibina, 1,886 disambungkan dengan bekalan elektrik, dan 6,576 rumah disambung dengan bekalan air bersih dan dirawat di seluruh negara.
Liew berkata usaha kerajaan mengurangkan kemiskinan tegar juga menunjukkan hasil besar dengan sejumlah 23,679 atau 47 peratus dari 44,643 isi rumah miskin tegar dipisahkan dari kategori itu.
Pengangkutan awam luar bandar juga mencatat keputusan positif di mana jumlah penumpang harian meningkat dengan tambahan 2.4 juta orang atau 8.4 peratus.
Liew berkata usaha kerajaan menentang rasuah juga mencapai kemajuan, dengan beberapa inisiatif telah diwujudkan.
Ini termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, portal MyProcurement dan pangkalan data "name-and-shame" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiarkan di laman webnya.
Bagi meneruskan agenda nasional mentransformasi Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020, kerajaan akan melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP)terajuan swasta pada suku keempat tahun ini, kata beliau.
- Bernama