Permasalahan agama menjadi sesuatu yang sensitif untuk dibicarakan pasca Tsunami Politik pilihanraya umum ke-12.
Pola pemikiran politik kaum Melayu yang merupakan hampir keseluruhannya adalah penganut Islam dilihat statik dengan purata 40 peratus menyokong Umno, 30 peratus menyokong Pakatan Rakyat dan 30 peratus selebihnya tidak membuat keputusan.
Pola dan corak pemikiran ini adalah statik dan tiada perubahan yang signifikan untuk kita lihat memberi kesan kepada politik Malaysia pada masa akan datang.
Pada hemat saya, kelompok 30 peratus yang tidak membuat keputusan ini adalah merupakan cabaran kepada politik baru pakatan rakyat untuk merangka perjalanan ke Putrajaya. Kelompok ini tidaklah cenderung kepada Umno, tetapi mereka juga tidaklah menentang Pakatan Rakyat.
Tidak lindungi Melayu
Isu fenomena ini adalah soal kepercayaan kaum Melayu kepada Pakatan Rakyat untuk melindungi kepercayaan, yang kaum Melayu anggap sebagai keistimewaan dan sesuatu yang suci di Malaysia.
Hal pokok ini termasuklah berkisar persoalan agama. Dalam hal agama ini, pihak pemerintah BN berjaya untuk mencanang pemikiran tertutup, budaya takut dan menghakis kepercayaan kaum Melayu.
Pakatan Rakyat dipropagandakan tidak melindungi hak Melayu dan Islam sedangkan Pakatan Rakyat cukup kaliber untuk mengorak masa depan kaum Melayu yang lebih cerah.
Bagi saya isu yang dekat dengan umat Islam adalah yang melibatkan institusi seperti Masjid, Kesultanan Melayu, majlis Agama dan lain-lain. Cuma yang sedihnya kita banyak berkisar kepada bermasalah ranting bukan pokok.
Umat Islam lebih mementingkan Syiar bukan Syariat.
Permasalahan yang berlaku melibatkan Islam dan Melayu di Malaysia adalah disebabkan model dan cara yang dibawa oleh kerajaan BN yang menjadikan Islam dan Melayu ini kelihatan jumut dan sempit.
Penuh seksaan
Islam seakan penuh dengan hukuman dan seksaan. Melayu penuh dengan sensitiviti dan pantang larang. Mengakibatkan imej Islam sebagai sebuah agama yang indah tercalar dan Melayu sebagai kaum yang kehadapan sentiasa kelihatan tergugat.
Contoh yang melucukan adalah pengharaman bukan Islam untuk memasuki masjid atau rumah ibadah ummat Islam.
Masjid adalah satu kawasan atau institusi yang hanya eksklusif untuk umat Islam sedangkan kalau di barat malah di zaman Rasulullah SAW masjid adalah seperti pusat kommuniti, pentadbiran masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan bangsa.
Seperti di Amerika Syarikat dan Singapura peranan masjid juga adalah pusat kebudayaan Islam yang bukan sahaja berperanan untuk ibadah malah adalah untuk melebarkan kefahaman Islam merentas agama dan kaum.
Diskriminasi umat Islam
Ironi, apabila kita berasa marah apabila masyarakat majoriti di barat dilihat mendiskriminasi umat Islam tetapi di negara sendiri yang majoriti Islam sendiri, kita lakukan hal yang lebih kurang sama.
Contoh terkini adalah satu protes yang dijangka diadakan di Amerika Syarikat Sabtu ini berhubung idea membina pusat kebudayaan Islam dan masjid di kawasan yang berhampiran dengan tempat tragedi September 11, Pusat Dagangan Dunia WTC.
Protes ini diura-urakan bakal disertai oleh pemimpin-pemimpin yang anti-Islam termasuk Geert Wilders. Pada hari yang sama di Gainesville, Dove World Outreach Center merancang untuk membakar al-Quran.
Di Malaysia tidak tidak kurangnya, apabila hal seperti doa, bukan Islam memasuki masjid isu kalimah Allah dan isu-isu lain yang melibatkan agama Islam dan bukan Islam tidak diwacanakan secara rasional dan matang di dalam masyarakat majmuk.
Kita didorong oleh pimpinan BN dan media arus perdana dengan pemahaman Islam yang songsang dan hanya membawa emosi dalam menjawap permasalahan agama.
Umat Islam hanya sekitar 55 peratus di Malaysia, merupakan jurang yang tipis. Kita tidak boleh merasa membuta tuli tanpa mengetahui isu asas dan ilmu yang dalam berhubung agama.
Adalah penting bagi rakyat mengetahui bahwa Pakatan Rakyat secara kukuh dan ampuh mendokong perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara.
Berasaskan perlembangaan negara ia menjamin hak dan keharmonian semua pihak termasuk Islam dan bukan Islam. Sekali lagi ingin ditegaskan seluruh parti di dalam Pakatan Rakyat berpegang bahawa Islam adalah agama persekutuan yang mana kedaulatannya dan keistimewaannya terjamin.
Langkah ke Putrajaya
Di akhir tulisan ini saya ingin membahawa kita untuk mengingat kembali pilihan raya umum ke-10 telah berjaya merubah politik kaum Melayu akibat kezaliman yang berlaku tetapi tidak kaum bukan Melayu.
Pada pilihan raya umum ke-12, perubahan besar-besaran secara drastik rakyat terutama kaum bukan Melayu tetapi perubahan Melayu tidak sekata berbanding kaum lain.
Pada pilihan raya umum ke-13, adalah menjadi hal pokok kepada Pakatan Rakyat untuk memastikan gelombang perubahan kaum Melayu dan bukan Melayu adalah sekata demi melangkah untuk ke Putrajaya.
Kepercayaan kaum Melayu terutama Melayu 30 peratus yang tidak membuat keputusan itu harus kita dakapi, isu yang berkisar Islam harus kita selesaikan, permasalah ummat harus kita menjadi dhammir alternatif untuk melihat Islam yang lebih cerah di bumi Malaysia.