Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ucapan perpisahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini secara tidak langsung terus membidas camputangan Kementerian Dalam Negeri.

Musa yang dilihat tidak mahu berundur sebelum menyatakan apa yang terbuku di hatinya, mengingatkan anggota polis dan pegawainya supaya kekal setia meskipun “menerima tekanan dari pihak atasan dari dalam dan juga luar”.

musa hassan mahmood adam ismail omar 080910 igp “Jangan jadi 'yes men'. Jangan jadi orang suruhan. Jika polis terdiri daripada orang suruhan, seluruh pasukan akan busuk dan musnah.

"Jangan tolak ansur dalam soal integriti ini, rosak pasukan nanti," katanya.

Malah, Musa berkata, PDRM bukan peminta sedekah dan bukan "pungut duit orang lain" tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.

Pak turut

Beliau juga mengingatkan anggota polis supaya tidak berpuak-puak dan menjadi 'pak turut' bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan..

“Zaman saya tidak ada sesiapa pegawai yang tahu siapa yang rapat dengan saya. Saya tidak pernah memanggil mana-mana pegawai ke rumah saya atau keluar untuk makan minum dengan mereka.

"Ini menjadikan kerja lebih mudah, kerana tidak ada pegawai yang mengampu saya,” katanya.

Isnin lalu, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini.

Sebelum itu, Musa pada ucapannya juga memuji penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang bakal dilantik sebagai ketua polis negara yang baru, Isnin ini.

Bermandi darah

Katanya, beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada timbalannya itu.

Beliau berkata setiap jabatan dalam PDRM perlu memberikan sokongan kepada Ismail bagi memacu PDRM untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat dan negara.

"Ismail akan bekerja dengan baik. Tetapi beliau memerlukan sokongan semua. Saya harap selepas bersara, dia akan memantapkan lagi pasukan polis dan memastikan setiap rancangan dan strategi dilaksanakan,” katanya.

"Saya sendiri banyak menerima aduan berhubung diri saya dan juga pasukan polis kerana kita dilihat tidak memberikan khidmat yang terbaik atau tidak boleh dipercayai ataupun mengamalkan rasuah. Tetapi saya harap, selepas dilantik saya berjaya memperbaiki pasukan polis.

musa hassan mahmood adam ismail omar 080910 igp "Dan sekarang, saya pula akan duduk sebagai pemerhati. Saya sering diperhatikan dan sekarang giliran Ismail pula.

"Jangan terbabit dengan salah-guna kuasa dan pastikan anda bermandi darah melindungi negara ini,” katanya.

Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini selepas 41 tahun bersama pasukan polis itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS