Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata pihaknya telah mempunyai maklumat berhubung kehilangan pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi sejak 30 Ogos lalu.
Beliau berkata berdasarkan maklumat itu pihaknya yakin dapat menemui keempat-empat mereka.
"Kita ada maklumat-maklumat tertentu. InsyaAllah kita akan dapat jumpa mereka ...kita ada maklumat," katanya pada sidang media semasa lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sempena persaraannya, di Shah Alam, hari ini.
Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kehilangan Sosilawati, 47, dan tiga lagi iaitu peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu peribadinya Kamarudin Shansudin, 47 dan pegawai CIMB Bank Norhisham Mohammad, 38.
Mengulas lanjut, Musa berkata polis kini menyoal siasat semua anggota keluarga mereka yang hilang bagi mengesan jejak terakhir keempat-empat individu berkenaan termasuk siapa yang mereka bercadang untuk berjumpa pada hari tersebut.
"Buat masa ini kita sedang mencari orang yang nak berjumpa dengan dia (Sosilawati), yang dipercayai seorang peguam yang mengatakan nak menjalankan kontrak penjualan hartanah," katanya.
Musa juga berkata tidak ada tanda mencurigakan ditemui polis pada kereta Sosilawati yang dijumpai di Subang Jaya semalam.
Sosilawati dilaporkan gagal pulang ke rumahnya sehingga hari ini selepas keluar untuk ke Banting, Selangor dipercayai bagi menguruskan jual-beli tanah di sana pada 30 Ogos lalu.
- Bernama