Semakin hampir dengan pemilihan parti, pelbagai perkara timbul di peringkat akar umbi PKR, antaranya di cabang Indera Mahkota, Pahang yang mana ahli parlimennya Azan Ismail cuba 'diheret' ke balai polis.
Ia berlaku apabila bendahari cabang, Kamaruzaman Md Yunus membuat laporan polis terhadap Azan - juga ketua cabang itu - kerana didakwa mengugutnya atas kenyataan yang didakwa tidak diucapkannya.
Kamaruzaman mendakwa, Azan menuduhnya menyebarkan maklumat bahawa beliau pernah "menggunakan wang parti sebanyak RM40 ribu".
Kamaruzaman yang juga timbalan setiausaha PKR Pahang mendakwa dalam perbualan telefon pada 30 Ogos lalu, Azan didakwa berkata "pembuatan awak (Kamaruzaman) melampau dan saya akan buat tindakan sesuatu".
Sehubungan itu, Kamaruzaman membuat laporan polis keesokkan harinya kerana bimbang akan keselamatan beliau.
Ditanya sama ada ia aduan polis itu dibuat kerana ada kena mengena dengan pemilihan parti, Kamaruzaman menjelaskan:
"Ada... sebab beliau tidak menyangka saya akan bertanding (timbalan ketua bahagian)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Minggu lalu, Azan memberitahu Malaysiakini , beliau mengesyaki Kamaruzaman dan setiausaha perhubungan negeri Razali Alias dan "berkonspirasi" mahu manjatuhkannya di peringkat cabang.
Menurut Azan lagi, ini boleh dilihat apabila Razali menawarkan diri mencabarnya sebagai ketua cabang manakala Kamaruzaman pula mencabar timbalannya Ibrahim Sidek.
Azan juga mendakwa kumpulan itu telah melanggar etika berkempen yang digariskan PKR dengan memburuk-burukkan namanya.
"Apa yang berlaku ini boleh dikatakan lebih daripada konspirasi lagi," kata Azan yang mendakwa belum dipanggil polis untuk membantu siasatan.
Razali bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini menafikan apa yang berlaku di cabang ada kena mengena dengan pemilihan parti sebaliknya hanya "ia lebih kepada (urusan) peribadi calon".
Indera Mahkota merupakan salah satu cabang tumpuan di Pahang kerana salah satu daripada dua kawasan yang mana kerusi parlimennya dimenangi PKR, selain Kuantan.