Sokongan terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali untuk bertanding jawatan nombor dua parti dalam pemilihan parti itu mungkin tidak sekuat yang disangkakan.
Malah, seorang lagi naib presidennya R Sivarasa ( kiri ) mendakwa tidak tahu menahu bahawa sidang media hari ini dianjurkan bagi mengumumkan sokongan pada Azmin.
Wakil rakyat Subang itu juga tidak tahu namanya dalam senarai 18 daripada 24 ahli parlimen PKR dan dua senator yang dikatakan menyokong Azmin, walaupun beliau setakat ini belum menyatakan sokongannya.
"Saya tidak sedar berada dalam senarai itu. Saya rasa tidak sesuai mengumumkannya sekarang. Ia masih terlalu awal," katanya.
Manakala seorang lagi ahli parlimen yang hadir dalam sidang media itu memberitahu Malaysiakini , beliau rasa 'tertipu' memberikan sokongannya kerana ia dipercayai "cara melawan Zaid Ibrahim"
Beliau yang enggan namanya didedahkan mendakwa, beliau hanya dimaklumkan sebelum ini bahawa sidang itu sebenarnya untuk tujuan lain.
"Saya tidak tahu ia tentang apa. Saya terima SMS daripada ahli parlimen lain. Saya terkejut kerana perkara ini tidak dibincangkan dahulu," jelasnya.
Mengesahkan perkara ini, ahli parlimen Batu Tian Chua berkata acara itu hanya untuk menunjukkan sokongan untuk pihak yang mahu bersaing merebut jawatan kanan dalam parti.
"Saya sokong MB berkenaan patut diberikan jawatan lebih penting dalam parti, tetapi lebih elok sekiranya proses ia ditentukan melalui proses yang demokratik," katanya.
Lima wakil rakyat yang tidak hadir Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) dan anaknya Nurul Izzah (Lembah Pantai), Saifuddin Nasution (Machang), Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) serta N Gobalakrishnan (Padang Serai).
Manakala timbalan presiden Syed Husin Ali menjadi satu-satunya daripada tiga senator parti itu yang tidak dinamakan.