Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemelut perebutan jawatan di Umno bahagian Sungai Petani, masih jauh daripada selesai.

Gerakan Anti-Ali (GAA) mengakui bahawa ketua Umno bahagian Sungai Petani, Ali Yahya masih lagi memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun beliau dikatakan tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengurus dan menjalankan program di bahagian itu termasuk menyampaikan ucapan dalam program yang diadakan.

"Majlis Tertinggi sudah menyerahkan kepada Umno Kedah untuk mengambil alih keseluruhan pentadbiran, majlis dan program yang diadakan. Dia (Ali) tidak boleh menguruskan program.

"(Dia) tak boleh sampaikan ucapan. Tak boleh... Macam kita pergi kerja ke pejabat, atas meja ada surat. Tapi kita tak boleh tandatangan surat, (dan) tidak boleh beri ucapan (dalam program)," kata setiausaha GAA Khairul Anuar Zainol.

Namun menurut Khairul Anuar, Ali dikesan melanggar arahan itu dengan menghadiri satu majlis pemberian elaun kepada pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan juga menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Katanya, beliau dimaklumkan berhubung perkara berkenaan daripada salah seorang pengerusi JKKKP yang hadir dalam majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada 29 Ogos lalu.

Sehubungan itu, Khairul Anuar yang juga ketua Umno cawangan Industri, Sungai Petani menggesa Ali supaya "duduk berehat"  dan memberi peluang kepada perhubungan Umno negeri menguruskan program di bahagain tersebut dengan baik.

Khairul Anuar mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan Majlis Tertinggi (MT) mengekalkan Ali sebagai ketua bahagian Sungai Petani setelah memutuskan pengurusan bahagian tersebut diambil alih oleh Umno Kedah.

Mengulas lanjut, beliau juga menggesa jawatan yang diberikan atas kapasiti Ali sebagai ketua bahagian "dibekukan" termasuk jawatan penyelaras parlimen dan pengerusi majlis pembangunan pertanian negeri sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno "membuat keputusan".

Bukan prejudis

"Apabila keadaan selesai, dia ambil balik (jawatan tersebut), kita bukan prejudis sangat," katanya.

Khairul Anuar juga menggesa Umno negeri supaya bersikap lebih telus dengan memanggil kedua-dua kumpulan - kumpulan Ali dan GAA - untuk mendengar segala masalah yang timbul bagi menyelesaikannya dengan kadar segera.

Pada 21 Julai lalu, Umno Sungai Petani diambil alih pengurusannya oleh perhubungan negeri ekoran perbalahan dan kekecohannya dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu AGM pada 11 Julai lalu.

Persidangan perwakilan Umno bahagian Sungai Petani kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali berucap di majlis perasmiannya.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk naib ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang turun dari pentas meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Isu itu dirujuk kepada MT yang kemudian menyerahkannya kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk mencari jalan penyelesaian dengan diketuai Ahmad Bashah, yang dilantik pemangku ketua Umno bahagian Sungai Petani.

Selepas itu, Ahmad Bashah mengumumkan Ali dikekalkan ketua bahagian tetapi diprotes GAA yang menganggap timbalan pengerusi Umno negeri itu (Ahmad Bashah) masih memangku jawatan Ali selaras dengan arahan MT dan Ali sewajarnya tidak memegang sebarang jawatan.

ADS