Purata enam pelajar di Perlis ditahan setiap bulan kerana terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis negeri Datuk Ghazali Mohd Amin berkata angka itu berdasarkan jumlah 49 orang yang ditahan setakat ini atas pelbagai kesalahan termasuk terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ghazali berkata mereka yang terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal itu tidak menyertai mana-mana kumpulan sebaliknya bergerak secara bersendirian sebelum menjual motosikal terbabit kepada sindiket.
Mereka katanya, akan menunggang motosikal yang dicuri sehingga ke Sik, Kedah untuk dijual kepada anggota satu sindiket yang kemudian mengubah suai motosikal itu sebelum dijual pula kepada warga asing yang bekerja di ladang getah sekitar Kedah dan Perlis.
Modus operandi mereka terbongkar selepas tumpasnya satu sindiket yang diketuai seorang wanita berusia 51 tahun pada 28 Ogos lepas, katanya.
Beliau berkata wanita itu bersama tiga lelaki ditahan di sebuah kebun getah di Sik dan hasil pemeriksaan ke atas sarang sindiket, polis menemui 15 motosikal curi dan percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal di Perlis.
Kesalahan lain membabitkan pelajar berkenaan ialah mencuri dalam bangunan, mencuri pada siang hari serta merogol, katanya.
Ghazali sebelum itu mengetuai skuad Blue Thunder Riders Club yang disertai 40 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis melakukan tinjauan cegah jenayah di lima lokasi sekitar negeri iaitu di Kuala Perlis, Padang Besar, Kangar, Beseri, Mata Ayer dan Arau.
- Bernama