Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KTM bakal perkenal keretapi eletrik
Diterbitkan:  Aug 31, 2010 2:56 PM
Dikemaskini: Sep 1, 2010 1:30 AM

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal memperkenalkan koc perkhidmatan antarabandar menggunakan kuasa elektrik dalam tempoh lima tahun lagi bagi laluan di bahagian pantai barat Semenanjung.

Pengurus Besar Perkhidmatan KTMB Antarabandar Mohd Zain Mat Taha berkata perkhidmatan itu akan diperkenalkan di laluan Seremban ke Gemas dan Ipoh ke Padang Besar kerana fasiliti kabel elektriknya sudah sedia.

"Perkhidmatan itu adalah perkhidmatan antarabandar yang menggunakan kuasa elektrik yang akan menggantikan perkhidmatan sekarang iaitu koc-koc menggunakan lokomotif," katanya kepada pemberita yang menyertai program sambutan Ambang Merdeka anjuran KTM Antarabandar.

Program sambutan itu bermula dari Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Stesen Ipoh semalam disertai lebih 47 pelajar dan guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara serta rakan media dan petugas KTMB.

Antara pengisian program itu termasuklah solat Isyak, solat hajat, solat tarawih berjemaah di atas keretapi, bacaan puisi dan laungan "merdeka" sebaik sahaja tepat pukul 12 tengah malam.

Sebaik sahaja tiba di Ipoh, lagu kebangsaan Negaraku dinyanyikan sebagai tanda sambutan kemerdekaan Malaysia ke-53.

Mohd Zain berkata perkhidmatan lokomotif akan terus digunakan tetapi hanya di laluan Pantai Timur memandangkan kawasan itu masih belum mempunyai kabel elektrik.

Ditanya sama ada penggunaan kuasa elektrik akan mempengaruhi kenaikan tambang perkhidmatan keretapi, beliau berkata ia tertakluk kepada arahan kerajaan.

"Kita sebenarnya tertakluk kepada arahan kerajaan, kalau kita nak naikkan harga tambang kita masih kena rujuk kepada kerajaan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya naikkan harga mengikut sesuka hati kita," kata beliau.

--Bernama

ADS