Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasan Ali cadang garis panduan lawat surau, masjid

Exco hal ehwal agama Islam Selangor Datuk Hasan Ali berkata beliau akan mencadangkan satu garis panduan terperinci untuk orang bukan Islam mengunjungi surau dan masjid di negeri itu.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Hasan berkata setakat ini hanya satu peraturan umum yang digunapakai untuk orang bukan Islam mengunjungi rumah ibadat itu.

"Tetapi bila kita telah mendengar pelbagai pendapat itu misalnya orang bukan Islam boleh atau tidak boleh (memasuki masjid), rasanya majoriti berpendapat dalam tulisan-tulisan bahawa orang bukan Islam boleh memasuki ruang masjid hinggalah ke ruang solat.

"Tapi hendaklah menjaga tatasusila pakaian dan sebagainya. Ini sepatutnya hendaklah didetailkan pakaian macam mana, kalau tudungnya tudung macam mana.

"Amalan di masjid negeri misalnya saya saksikan dia ada jubah dan diberikan (pakaian) seperti skaf. Ini disediakan. Bila disediakan tidak ada masalah, siapa yang anjurkan boleh memberikannya," katanya.

Tambahnya, garis panduan itu juga mungkin menetapkan supaya individu yang ingin mengunjungi rumah ibadat itu supaya menulis surat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan juga kepada masjid berkenaan.

"Dari situ kita akan tahu siapa nak datang, apa ucapan yang nak diberikan. Dari itu kita boleh beri nasihat awal-awal kepada mereka daripada tatasusila, peraturan dan tindakan-tindakannya," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga akan mengadakan satu pertemuan dengan pengarah JAIS Datuk Mohammad Khusrin Munawi untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakan jabatan itu dalam menangani isu melibatkan kehadiran ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke sebuah surau di Kajang.

Katanya, beliau akan mengambil peluang dalam pertemuan tersebut untuk menyampaikan pandangan para intelektual berpengaruh dalam menangani isu tersebut kepada Mohammad Khusrin.

JAIS sebelum ini mengambil memanggil bersama pembantu khas Teo untuk memberi keterangan kepada pengerusi MAIS, pengarah JAIS dan juga wakil Istana, kata Hasan.

Turut dipanggil ialah anggota jawatankuasa surau Al-Huda di Kajang Sentral itu, manakala surau berkenaan diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor.

Bagaimanapun, Hasan berkata beliau belum menetapkan tarikh untuk bertemu dengan Khusrin.

Mengulas tuntutan supaya beliau metelakkan jawatan ekoran daripada isu berkenaan, Hasan berkata laporan berkenaan sengaja ditimbulkan oleh Umno.

Malah, laporan tersebut juga ditonjolkan dalam media terbabit untuk membentuk emosi masyarakat terhadap isu berkenaan, katanya.

"Akhbar melaporkan dengan berat sebelah mengenai kejadian ini. YB Teo dilaporkan menyampaikan tazkirah dalam majlis itu, beliau dilaporkan menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli-ahli PAS," kata Hasan lagi ketika membacakan satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, isu sama ada beliau perlu meletakkan jawatan tidak timbul kerana ia tidak menyelesaikan masalah sebenar.

Dengan berjenaka, beliau berkata sekiranya beliau perlu meletakkan jawatan kerana seorang bukan Islam memasuki masjid, maka beliau sudah perlu meletakkan jawatan "beribu-ribu kali."

Tambahnya, tumpuan sepatutnya diberikan untuk menyelesaikan isu melibatkan etika orang bukan Islam memasuki masjid dan surau.

"Itu bagi saya adalah lebih penting daripada seorang yang bernama Hasan Ali," katanya lagi.

ADS