Ramai kontraktor Melayu di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan kontrak kerja menyebabkan ada antara mereka terpaksa menutup operasi dan beralih kepada perniagaan lain.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Ahmad Fatahi Omar berkata antara punca kepada masalah itu adalah kerana ada kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang itu terlalu mengehadkan aktiviti pembangunan.
Katanya kerajaan negeri itu tidak mahu berbelanja untuk pembangunan walaupun mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian menyebabkan kontraktor-kontraktor hanya mengharapkan projek kerajaan persekutuan.
"Jika dilihat tindakan mereka untuk hadkan pembangunan sebenarnya lama kelamaan akan memberi kesan kepada ekonomi. Ekonomi tidak akan naik. Ada maklumat yang saya dapat kerajaan Persekutuan tidak kurangkan peruntukan tetapi kerajaan negeri yang kurangkan perbelanjaan," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa PKMM Kedah di Alor Star malam semalam.
Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Kedah berkata selain itu banyak juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak memberi peluang kepada kontraktor Melayu walaupun banyak syarikat bumiputera berkemampuan untuk menjalankan kerja-kerja bagi GLC.
"Kalau beri peluang, kita boleh buat. Apa yang penting mereka kena beri peluang baru mereka boleh tengok sama ada kontraktor tu boleh buat kerja atau tidak. Ada pandangan di kalangan GLC bahawa kontraktor Melayu bermasalah," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fatahi mengakui ramai juga kontraktor Melayu yang tidak bersedia untuk menjalankan projek-projek besar menyebabkan syarikat-syarikat besar hilang kepercayaan kepada mereka.
"Ramai kontraktor Melayu selepas mereka menyiapkan kerja mahukan pembayaran segera sedangkan ia adalah proses yang memakan masa yang lama terutama apabila melibatkan syarikat-syarikat besar.
"Kontraktor Melayu perlu bersedia untuk menghadapi masalah-masalah seperti ini. Selain itu, ada juga yang gagal memahami Bahasa Inggeris dengan baik sedangkan segala dokumen adalah dalam Bahasa Inggeris," katanya.
Katanya dalam kes kontraktor kelas A, walaupun sebelum ini ada arahan kerajaan yang mahukan mereka memiliki ISO 9001 tetapi hanya 20 peratus kontraktor Melayu yang dapat berbuat demikian.
"Apabila mereka ada ISO mereka boleh pergi ke mana-mana termasuk mendapatkan kerja di luar negeri. Ketika ini di kalangan kontraktor Melayu, hanya kira-kira 10 peratus mendapat kontrak di luar negara," katanya.
- Bernama