Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tazkirah' di surau: Saya ikhlas, kenapa dipermain?

Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata beliau tidak faham kenapa kunjungannya ke sebuah surau di Kajang Ahad lalu menjadi kontroversi dan "dipermainkan-mainkan" kerana beliau berniat ikhlas.

"Kunjungan ke surau Al Huda, Kajang adalah satu lawatan yang mesra, (dan) ikhlas untuk berjumpa dengan penduduk di situ. Mereka menerima kehadiran saya.

teo nie ching uncensored 120908 03 "Saya tidak faham mengapa kunjungan biasa ini dipermain-mainkan," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyifatkan tindakan Teo ( kiri ) menyampaikan 'tazkirah' di masjid sebagai tidak wajar.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan di muka depannya, yang memetik Pengarah JAIS Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai berkata, perkara tersebut tidak harus berlaku kerana orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau, apatah lagi ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.

Ketika dihubungi Malaysiakini Teo menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar,  seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Manakala ucapannya di dalam surau tersebut, jelas Teo, tidak menyentuh langsung soal politik, tetapi sebaliknya hanya menerangkan tentang bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor.

"Kebanyakan mereka tidak mengetahui tentang perkara ini, dan saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan perkara tersebut kepada mereka," katanya.

Muslimin, muslimat jemput

Sementara itu, mengulas isu kemasukannya ke dalam ruang solat utama di surau itu, Teo berkata beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk. Saya double check sama ada boleh masuk atau pun tidak.

NONE "Saya sudah mendapat keizinan daripada pihak surau untuk masuk ke dalam surau. Muslimin dan muslimat pun, mereka menjemput saya masuk," jelasnya lagi.

Katanya, tarikh dan masa kunjungannya  selepas solat Tarawih itu, juga ditentukan oleh pihak surau berkenaan.

Ditanya kenapa beliau tidak memakai tudung ketika memasuki surau, Teo yang juga timbalan ketua publisiti DAP menjelaskan:

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pihak) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu.

"Pada kebiasaannya saya hanya berada di luar surau sahaja. Ini bukan kali pertama saya ke surau itu. Sebelum ini saya berada di luar," katanya yang sudah mengunjungi beberapa surau sepanjang Ramadan yang bermula 11 Ogos lalu.

Surau: Baca sendiri blog Teo

Di sesetengah masjid terkenal seperti Masjid Negara dan Masjid Putrajaya, golongan bukan Islam dikehendaki menutup kepala sekiranya ingin melawat kawasan sekitarnya.

Teo juga menjelaskan, pada Ramadan kali ini, beliau ada juga mengunjungi dan berbuka puasa bersama ahli jemaah di beberapa surau di kawasannya parlimennya tetapi tidak pernah memasuki ruang solat utama.

NONE Sementara itu, Utusan Malaysia juga melaporkan, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Selangor, Abdullah Mansor memandang serius tindakan Teo kerana menurutnya, ia bertentangan dengan titah Sultan Selangor berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik.

Abdullah juga menyatakan bahawa tindakan itu juga menyalahi hukum.

Justeru tambahnya, jika benar dakwaan itu, ia satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam apabila ada seorang bukan Islam yang keadaannya tidak 'bersih' memasuki ruang solat utama surau untuk mengadakan majlis dan membuat ucapan.

Pengerusi jawatankuasa surau Al-Huda Azemi Ahmad pula dilaporkan menjelaskan Teo masuk untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan moreh kepada surau tersebut.

Bagaimanapun, Azemi berkata, isu itu tidak perlu digembar-gemburkan kerana tiada apa yang  boleh dipolitikkan, lapor akhbar milik Umno itu.

Azemi turut meminta orang ramai supaya membaca sendiri laman web Teo untuk mendapatkan penjelasan sebenar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS