Kerajaan Selangor akan melancarkan kempen anti zina, sempena program sambutan kemerdekaan dan penghayatan bulan Ramadan Isnin depan.
Pelancaran kempen tersebut adalah antara aktiviti menarik yang disusun untuk program berkenaan yang akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri Selangor, program tersebut akan berlangsung selama dua hari mulai jam 3.30 petang Isnin depan sehingga 7.30 pagi 31 Ogos.
Di samping kempen anti zina, antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah konsert amal Merdeka, laungan kemerdekaan oleh menteri besar dan banyak lagi.
"Program ini diadakan sempena menghayati bulan Ramadhan dan Menyambut Hari Kemerdekaan yang diadakan secara serentak," tambah kenyataan itu lagi.