Tiga tokoh utama yang mempunyai kaitan dengan Inkuiri Suruhanjaya Diraja mengenai kemelut pita video Lingam mendakwa mereka menerima ugutan, baru-baru ini.
Bekas setiausaha peguam Datuk VK Lingam - GN Jayanthi, pada sidang media semalam mendakwa beliau menerima beberapa ancaman melalui telefon bimbitnya dan kini khuatir mengenai keselamatannya.
Peristiwa kematian adik Lingam - V Rajendran selepas satu pergaduhan pada 7 Ogos lalu dan pemandu Lingam - D Ramachandran akibat kemalangan kereta pada Mei lalu - semuanya menabahkan lagi kegusarannya.
Sidang media berkenaan diadakann di pejabat ahli parlimen Kelana Jaya MP Loh Gwo Burne.
Menurut Jayanthi, mesej yang diterima itu menggunakan bahasa kesat.
'Gemuk macam babi'
Ia berbunyi “Awak bodoh. Gemuk seperti babi” manakala satu lagi “ You are doomed for life ”.
Menurut laporan polis yang difailkan pada 8 Julai lalu, mesej berkenaan dihantar melalui telefon yang mempunyai nombor yang didaftarkan di United Kingdom.
Dia mendakwa sehingga hari ini, tiada maklum balas daripada polis berhubung laporan yang dibuatnya itu.
Jayanthi mendakwa berikutan dengan kematian Rajendran dan Ramachandra, beliau bimbang yang dia akan menjadi "mangsa seterusnya".
Menurut Loh, seorang lagi adik Lingam V Thirunama Karasu juga menerima ugutan dan sekarang ini menyembunyikan dirinya.
Beliau mendakwa juga menerima ancaman pada Mei lalu dan pejabatnya telah dipecah masuk sebanyak tiga kali tahun ini. Loh tidak menolak kemungkinan semua perkara berkenaan ada berkaitan dengan pita Lingam.
'Terlalu banyak kebetulan'
"Terlalu banyak kebetulan. Saya tak tolak kemungkinan ada kaitan tetapi saya tidak mahu tuduh. Mungkin ini ‘ganguan politik. Saya tidak pasti,” katanya.
Kata Loh selepas dua kematian ‘bukan secara semulajadi’, dirinya bersama Jayanthi danThirunama mungkin mangsa seterusnya.
Menurut Loh sebagai wakil rakyat, beliau tidak boleh bersembunyi dan menggesa polis supaya bertindak.
Ketiga-tiga mereka pernah mendakwa Lingam terbabit dengan klip video yang memaparkan peguam itu sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengaturkan pelantikan hakim utama negara.
Loh adalah orang yang merakamkan video berkenaan ketika Lingam didakwa merancang pelantikkan hakim negara manakala Thirunama pula mendakwa pernah berkhidmat sebagai pekerja am di pejabat abangnya dan pernah menghantar hadiah kepada beberapa hakim tetentu.
Bagaimanapun Lingam cuba mencemarkan kewibawaan Thirunama sebagai saksi dengan mendakwa bahawa dia tidak siuman tetapi adik mereka, Rajendran tampil bagi menafikan dakwaan berkenaan.
Peranan Jayanthi juga tidak kurang penting apabila dia mendedahkan bahawa dia bekerja di pejabat Lingam antara November dan awal Disember 1994 bagi merangka keputusan penghakiman kes yang membabitkan saman fitnah tokoh perniagaan jutawan, Tan Sri Vincent Tan ke atas wartawan MGG Pillai.
Keputusan yang dibacakan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin itu memihak Tan. Lingam adalah peguam yang mewakili Tan dalam kes berkenaan.
[Baca berita penuh]