Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) hari ini melancarkan kempen mengutip satu juta tandatangan untuk membantah saman ekor.
Pelancaran tersebut akan diadakan di bazar Ramadan Pasar Keramat pada jam 5.30 petang ini oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.
Hadir sama ialah setiausaha DPPP yang baru, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan tujuh pemimpin Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Selepas pelancaran tersebut, Nasrudin menemui para pengunjung dan peniaga di bazar tersebut untuk mendapatkan tandatangan tanda sokongan mereka terhadap kempen tersebut.
Sebelum ini, beliau memberitahu sidang akhbar bahawa pihaknya mensasarkan kira-kira 1,000 tandatangan di bazar tersebut hari ini.
DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menentang saman ekor.
Ia ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan dalam saman ekor.
Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena adalah pengerusi Jawatankuasa Anti-Saman Ekor (Kase).
Ekoran desakan kuat aktivis dan parti pembangkang, kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan mereka yang disenaraihitamkan itu membaharui lesen dan cukai jalan tanpa perlu membayar saman ekor sehingga Februari tahun depan.
Bagaimanapun, mereka tidak dikecuali daripada membayar saman ekor tersebut.
Nasrudin berkata, kempen hari ini akan diikuti dengan pelancarannya di peringkat negeri-negeri bagi merealisasikan kutipan 1 juta tandatangan untuk diserahkan bersama satu memorandum kepada kerajaan.