Polis sudah pun menerima tiga laporan berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ( kiri ) berkata siasatan mengenai perkara itu sedang dijalankan.
"Ada pihak yang kata khutbah itu disalahertikan... disalah lapor. Jadi, kita hendak tahu fakta sebenar," kata Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Sembrong selepas majlis rahmat Ramadan dan berbuka puasa Parlimen Sembrong, di Felda Ulu Belitong di Kluang hari ini.
Khamis lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam doa khutbah Jumaat yang dikesan sejak minggu lepas di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong.
Hishammuddin berkata sebarang isu berkenaan kaum dan agama perlu disiasat dan dikaji dengan teliti supaya tidak menimbulkan kemarahan yang mendalam.
"Kalau dulu, isu yang digembar-gemburkan adalah berkisar kepada perkauman. Sekarang ini sudah menular kepada keagamaan pula.
"Kalau khutbah Jumaat pun boleh jadi polemik agama, saya memang cukup tidak puas hati tetapi sebelum tuduh mana-mana pihak, biarlah kita kaji baik-baik.
"Kalau tak boleh dikawal, ralat kemudian sudah terlewat," katanya.
--Bernama