Bos dan seorang penerbit utama di stesen radio 988 milik MCA digantung perkhidmatan mereka ekoran penggantungan tugas DJ program popular dalam bahasa Cina 'Hi Malaysia' Jamaluddin Ibrahim semalam.
Tindakan mengejutkan itu diparahkan lagi dengan penggantungan tugas tiga lagi baki DJ program tersebut.
Difahamkan, ketua pegawai eksekutif, Wong Lai Ngo (kiri) dan pengurus kanan program Tan Chia Yong digantung tugas serta-merta petang semalam oleh pemilik stesen radio itu, Star RFM Sdn Bhd.
Mereka digantung tugas sementara siasatan dalaman dijalankan terhadap Jamaluddin.
Jamaluddin digantung tugas selepas pengurusan stesen radio itu menerima surat dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMK).
Menurut surat tersebut, Jamaluddin dan program "Hi Malaysia" disyaki "mengancam keselamatan negara" dan "menjejaskan hubungan kaum".
Facebook ditutup
Program tersebut menerima panggilan pendengar, membincangkan isu-isu semasa dan popular di kalangan masyarakat Cina.
Penggantungan tugas Jamaluddin itu diumum oleh dua orang DJ program itu pagi semalam. Kedua-duanya menangis ketika di udara ekoran tindakan terhadap rakan mereka itu.
Tindakan terhadap Jamaluddin itu telah mencetuskan bantahan di talian, terutamanya di laman Facebook 988. Laman itu ditutup semalam.