Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran Pakatan Rakyat adalah supaya setiap isu rumah menikmati pendapatan RM4,000 dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil-alih pentadbiran kerajaan pusat.
"Cadangan polisi ini akan dikemukakan ke majlis pimpinan Pakatan untuk perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Katanya, walaupun pertumbuhan negara pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua yang diumumkan semalam boleh dibanggakan, namun hakikatnya, masih terdapat 2.4 juta keluarga atau 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang RM2,300 sebulan.
Menurutnya lagi empat juta keluarga akan terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup melainkan mereka berusaha meningkatkan pendapatan dengan kadar segera.
Cadangan RM4,000 itu diputuskan berdasarkan kajian yang dijalankan mengenai kadar sewa dan kos taraf hidup. Ia anggap tahap yang selesa bagi kebanyakan isi rumah.
Selain itu menurut Anwar, PKR akan mencadangkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk melaksanakan beberapa pendekatan yang berupaya untuk melonjakkan kadar upah di negara ini demi mencapai kadar minimum pendapatan isi rumah tersebut.
Di antara dasar tersebut ialah iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reform terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung (FDI).
Peningkatan g aji di Indonesia lebih tinggi
Ketelusan dan penambah-baikan dalam kerajaan itu juga, katanya akan menyaksikan pengaliran pelaburan modal asing (FDI) secara terus ke negara ini. Ia akan menjadi tulang belakang bagi memacu ekonomi negara.
Katanya, semua cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Pakatan dalam tempoh dua minggu lagi.
"Saya tidak mahu memperlekehkan kepentingan FDI, kerana kekuatan Malaysia bergantung kepada FDI. Tetapi apa yang kami katakan ialah jika urus tadbir dipermantapkan, tidak ada sebab bagi pelabur meninggalkan Malaysia,” katanya.
Ahli parlimen Permatang Pauh itu juga berkata pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua itu dicapai selepas krisis kewangan yang menyaksikan ekonomi menguncup pada kadar 1.7 peratus tahun lalu.
"Antara idea peningkatan dramatik dalam pelaburan swasta dan realiti, peningkatan itu hanya satu bayangan,” katanya.
Menurut Anwar, negara lain di rantau ini seperti Singapura akan juga jauh mengatasi pertumbuhan 8.9 peratus yang dicapai oleh Malaysia.
"Dalam pada itu, pertumbuhan Indonesia pula dijangka kukuh melebihi enam peratus pada 2010, berterusan pertumbuhan 4.6 peratus pada 2009 ketika ekonomi Malaysia dalam kemelesetan,” katanya.
Anwar juga berkata peningkatan pendapatan di Malaysia adalah jauh ketinggalan berbanding Indonesia di mana purata gaji naik 10 peratus antara 2007 dan 2009.
Sebagai perbandingan, purata gaji di Malaysia hanya meningkat 2.6 peratus sepanjang sedekad yang lalu dengan hampir 34 peratus tenaga kerja berpendapatan kurang RM700 sebulan, katanya.
"Telah menjadi modus operandi kerajaan persekutuan bagi mengemukakan angka yang besar dan berselindung di sebalik pelbagai andaian dan premis yang akhirnya didapati salah.
Menurut ketua pembangkang itu, kerajaan BN tidak boleh lagi menabur janji serta membentangkan perancangan yang tidak mampu dicapai dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.
"30 peratus pegangan ekuiti yang dijanjikan Umno masih gagal dipenuhi dan ternyata memberi kesan yang nyata kepada keluarga Melayu yang sentiasa bergelut dengan upah rendah serta kos sara hidup.
"Namun demikian dasar itu sering diuar-uarkan sebagai anugerah Umno kepada rakyat," katanya lagi.
[Baca berita penuh]