Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Felda bankrap': Felda fail saman RM200j
Diterbitkan:  Aug 16, 2010 4:02 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Felda dan anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd hari ini memfailkan saman RM200 juta terhadap enam pihak termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam akhbar parti itu, Suara Keadilan , Jun lalu.   

suara keadilan report on felda bankrupt 220610 Saman itu difailkan melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada pukul 3 petang ini.

   

Selain Wan Azizah, mereka yang dinamakan sebagai defendan ialah Naib Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd., Percetakan NPK Sdn Bhd., editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat.

   

Dalam penyataan tuntutannya, Felda selaku plaintif, yang diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel itu bertarikh 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010 terhadap Felda.

   

Felda mendakwa artikel pertama bertajuk "Felda Bangkrap" dan artikel kedua berserta gambar bertajuk "Kontroversi" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu" berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

   

Felda turut mendakwa pihak defendan dengan sengaja menerbitkan artikel berunsur fitnah itu dengan tujuan untuk memusnahkan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda sekaligus menyebabkan kerugian yang besar kepada lembaga itu.

   

Selain menuntut ganti rugi RM200 juta, termasuk gantirugi keterlaluan dan teladan, plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah secara lisan di media cetakan atau internet.

   

Felda juga menuntut pihak defendan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos dan relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.

   

Selain itu, Felda juga menuntut faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi dari tarikh saman itu difailkan sehingga tarikh kes selesai sepenuhnya.

- Bernama

 

ADS