Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli mungkin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau bebas daripada pendakwaan akibat kerugian didakwa sebanyak RM8 bilion yang dialami syarikat GLC itu, dakwa PAS.

NONE Naib presidennya Salahuddin Ayub ( kanan ) berkata terdapat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009 terhadap  Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Tajuddin, yang mendakwa terdapat salahlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sehingga kes terhadap Tajuddin tidak diambil tindakan sewajarnya.

Salahuddin juga berkata terdapat dokumen lain yang merupakan sepucuk surat oleh ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pada waktu itu Datuk Ramli Yusuff yang menyarankan kepada perdana menteri, bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

Surat bertarikh 26 Mac 2007 itu diserahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri pada ketika itu dan turut dihantar kepada semua anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah (JKMR).

Beliau yang merupakan salah seorang anggota jawatankuasa tersebut berkata, dokumen tersebut dihantar oleh seorang peguam yang mewakili MAS.

Katanya, MAS sebelum ini telah membuat dua laporan polis, bertarikh 4 Januari 2002 dan 4 Mei 2005, ke atas Tajudin dan beberapa orang pegawai kanan dalam syarikat penerbangan negara itu.

'Anak guam cemas'

Laporan tersebut melibatkan operasi MAS di sebuah lapangan terbang di Jerman dan turut membabitkan pemberian kontrak kepada salah sebuah anak syarikat MAS.

Bagaimanapun, tiada tindakan dikenakan ke atas Tajudin, hasil daripada laporan tersebut, kata Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

NONE Ini menyebabkan MAS bertindak membuat satu lagi laporan kepada SPRM ke atas bekas pengerusinya itu, dan juga terhadap JSJK serta Jabatan Peguam Negara, tambahnya.

Aduan itu dibuat, antaranya dengan dakwaan bahawa maklumat mengenai aduan sebelumnya telah diketahui oleh JSJK, kata Salahuddin.

"Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tapi SPRM dedahkan kepada JSJK menyebabkan anak guam kami (MAS) rasa cemas sebab aduan didedahkan kepada pihak berkepentingan," kata Salahuddin ketika membacakan satu surat daripada peguam MAS bertarikh 2 Ogos lalu.

Surat yang dialamatkan kepada pemangku ketua penolong kanan pesuruhjaya SPRM juga menyebut, tindakan SPRM mendedahkan maklumat siasatan kepada JSJK itu bercanggah dengan peruntukan bawah seksyen 29(4) dan seksyen 65(2) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM kena jawab kenapa dia dedahkan laporan tersebut," kata Salahuddin lagi dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara.

"Sama hebat" dengan PKFZ

Tajuddin juga tidak mungkin bertindak seorang diri dalam kes ini, dakwanya ketika ditanya sama ada Tajuddin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau sehingga kini tidak dikenakan sebarang tindakan.

NONE Kesemua salinan dokumen tersebut diedarkan kepada wartawan yang hadir di sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.

Salahuddin berkata, beliau akan menghubungi pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM yang dianggotainya supaya mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kes tersebut.

Katanya, beliau juga menimbangkan sama ada perlu membuat satu lagi laporan kepada SPRM ataupun kepada JSJK.

Beliau juga menuntut perdana menteri supaya mengambil tindakan tegas dalam skandal ini yang disifatkannya "sama hebat" dengan isu PKFZ.

Katanya lagi, ini memandangkan kedua-dua SPRM dan Pejabat Peguam Negara berada di bawah tadbir Jabatan Perdana Menteri.

ADS