Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Remaja dakwa dipukul polis sebelum disaman
Diterbitkan:  Aug 15, 2010 6:19 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Seorang remaja lelaki mendakwa patah pergelangan tangan kanan dan jari kelingking selepas dibelasah empat anggota polis, sebelum disaman atas kesalahan lalu lintas, di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kedah dekat sini, lewat malam Rabu lepas.

    

Mohd Asri Ismail, 18, berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 malam itu, dia sedang mengisi minyak sebelum dihampiri empat lelaki berkenaan yang tiba-tiba bertindak memukul kepalanya.

    

"Saya tidak sempat bertanya kesalahan yang saya lakukan kerana mereka terus memukul saya di kepala menggunakan topi keledar. Saya cuba mengelak dengan menahan tangan kanan di kepala supaya kepala tidak cedera.

    

"Saya langsung tidak menyedari dari mana mereka mengekori saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Alor Star hari ini.

    

Beliau berkata selepas dibelasah, barulah tiga saman dikeluarkan kepadanya kerana melanggar lampu merah, tiada lesen memandu dan peralatan motosikal yang ditunggangnya tidak lengkap.

    

Berikutan kejadian itu, Mohd Asri telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

    

Bapanya, Ismail Ali, 52, berkata dia tidak kisah jika anaknya disaman kerana Mohd Asri mungkin melakukan kesalahan, namun apa yang dikesalkan ialah tindakan anggota polis memukul mangsa sehingga cedera.

    

"Tindakan yang mereka lakukan terhadap anak saya ini terlalu kejam. Saya sangat kesal dengan tindakan mereka," katanya.

    

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Abdul Ghafar Rajab berkata beliau akan meneliti semula laporan kes tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika anggota terbabit didapati bersalah.

    

"Sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati anggota itu bersalah, kita akan mengambil tindakan kerana kita tidak akan berkompromi dengan anggota yang bertindak sedemikian," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS