Pengerusi Felda, Tan Sri Yusuf Nor diingatkan supaya tidak sebarangan memfitnah dan mengeluarkan kenyataan palsu berhubung tindakan lebih 700 peneroka Felda di Negeri Sembilan yang menfailkan saman RM200 juta ke atas agensi kerajaan itu.
"Beliau (Yusuf Nor) patut berhati-hati mengeluarkan kenyataan palsu macam ini.
"Kenyataan supaya membayar RM500 adalah satu fitnah dan satu kenyataan palsu," kata peguam Sivarasa Rasiah yang mewakili kumpulan peneroka itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Sivarasa yang juga adalah naib presiden PKR, 766 peneroka daripada Felda Serting dan Gugusan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan itu hanya diminta menyumbang bayaran RM50 seorang bagi memulakan saman tersebut sehingga kes dibawa ke mahkamah tinggi.
Katanya, dakwaan Yusuf ( kiri, tengah ) bahawa peneroka diminta yuran RM500 seorang itu sebagai berniat jahat dan jumlah RM500 itu adalah jumlah yang tidak munasabah.
Sehubungan itu, Sivarasa menasihatkan Yusof supaya tidak mempolitikkan kes ini dan mengaitkannya dengan pembangkang.
Pada 9 Ogos lalu, kumpulan peneroka berkenaan memfailkan saman RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban kerana mendakwa Felda terlibat dalam penipuan dan pecah amanah dalam jual-beli hasil kelapa sawit.
Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.
Da lam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit" selama 15 tahun.
Menurut Sivarasa, dalam pembayaran kadar perahan gred kelapa sawit Felda didakwa menggunapakai 18.9 peratus sedangkan nilai sebenar didakwa antara 24 hingga 25 peratus - seperti kajian Lembaga Kelapa Sawit Malaysia.
Katanya, pihaknya mempunyai dokumen bagi membuktikan bahawa pada tahun 2008 sahaja, setiap peneroka kerugian RM20,000 ekoran kadar itu.
"Ini bermakna selama 15 tahun, Felda menyebabkan semua 766 peneroka ini kerugian sebanyak RM200 juta," kata Sivarasa.
Yu sof pula pada sidang medianya dua hari lalu mendakwa tindakan sama itu didalangi kumpulan tertentu "supaya peneroka mendengar cakap mereka".
Katanya lagi, beliau difahamkan bahawa peneroka dikenakan bayaran tidak kurang RM500 bagi proses memfailkan saman itu.
"Saya minta peneroka berhati-hati apabila seseorang mengambil inisiatif untuk menyaman Felda dan meminta bayaran. Saya difahamkan bayaran itu tidak boleh dipulangkan.
"Saya menyeru kepada peneroka supaya jangan terpengaruh dengan perbuatan sedemikian, kerana mereka akan menjadi mangsa. RM500, bagi peneroka bukanlah (jumlah) yang kecil," katanya
Mengulas lanjut perkara itu, hari ini, Sivarasa berkata mengenai isu penipuan dan pecah amanah dalam jual-beli hasil kelapa sawit itu pernah dibangkitkannya sewaktu kempen pilihan raya kecil parlimen Huli Selangor sebelum timbulnya dakwaan Felda bankrap.
"Di Hulu Selangor saya bangkitkan apakah hak mereka (peneroka) mengikut kontrak dengan felda. Ia bermula lebih awal lagi," katanya bagi menjawab dakwaan peneroka dipengaruhi oleh kumpulan yang tertentu.