Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan pungutan suara bagi menentukan sama ada kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan perlu disambung lagi.
Ini katanya, perlu kerana hanya pungutan suara boleh menentukan sama ada rakyat ataupun pegawai kanan anggota polis masih menaruh keyakinan terhadapnya.
“Adakan pungutan suara di kalangan rakyat Malaysia atau di kalangan 2,000 pegawai kanan polis yang berpangkat bermula dari Assisten Superintenden ke atas - sebahagian besar pasti akan mengundi seorang IGP yang baru,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein setakat ini masih tidak mahu mengulas, walaupun khabar angin tersebar bahawa kontrak Musa yang berakhir bulan depan akan disambung buat kali kedua.
Kerja tak selesai-selesai?
“Apabila perkhidmatan Musa dilanjutkan...diumumkan pada 3 September tahun lalu, bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Yahya Udin dilaporkan oleh media sebagai berkata tempoh setahun memadai bagi Musa melengkapkan “kerja-kerjanya yang belum selesai”.
“Namun, nampaknya, sekarang ini Musa masih ada ‘kerja-kerjanya yang belum selesai” dan beliau mengintai perlanjutan lagi kontrak perkhidmatannya,” kata Lim.
Ahli parlimen Ipoh Timur itu yang lantang membantah perlanjutan kontrak Musa tahun lalu berkata ketua polis negara yang baru diperlukan bagi menyuntik pasukan itu dengan dinamisme dan tenaga baru serta tahu hala tujunya.
Jika tidak, katannya pasukan itu sukar melaksanakan tiga fungsi asasnya - iaitu memastikan kadar jenayah yang rendah, menghapuskan rasuah dan melindung hak asasi manusia.
Lim berkata melanjutkan kontrak Musa adalah satu penghinaan kepada pasukan polis kerana ia menggambarkan seolah-olah mereka kekurangan pemimpin yang berkelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan.
“Malaysia mempunyai 100,000 anggota polis dan sukar dipercayai dari kelompok berkenaan tidak ada seorangpun yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan sehingga Perdana Menteri tidak dapat memilih seorang daripada 100 pegawai teratas...untuk layak dijadikan sebagai IGP baru,” katanya lagi.