Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan lancar matawang syariah dinar, dirham
Diterbitkan:  Aug 12, 2010 5:53 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Kelantan berhasrat menjadi negeri pertama mempelopori penggunaan emas dan perak yang dikenali mata wang syariah emas dinar dan perak dirham.

NONE Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menjadi hasratnya untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urusniaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya.

"Kita bercadang mengamalkan semua urusniaga dan membayar gaji kakitangan menggunakan mata wang syariah, iaitu dinar emas dan dirham ini secara menyeluruh tidak lama lagi," katanya pemberita selepas majlis pelancaran dinar emas di Kota Bharu, hari ini.

Dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).          

NONE Simbolik kepada majlis pelancaran itu, Nik Abdul Aziz menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.    

Nik Abdul Aziz, yang juga Pengerusi PMBK berkata, sehingga ini lebih 1,000 peniaga bersetuju menggunakan emas dinar dan dirham sebagai mata wang alternatif untuk berurusniaga di premis mereka.    

Selain itu, Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurusniaga.   

Beliau berkata, tidak ada sebab urusniaga mengunakan mata wang syariah ini tidak boleh diamalkan di negeri ini kerana penggunaannya telah diamalkan sebelum kejatuhan Kerajaan Othmani di Turki.      

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pihak menggunakan mata wang syariah itu secara menyeluruh dan bukan untuk negeri ini sahaja.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS