Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Felda Tan Sri Yusof Nor  berkata ada masanya Felda perlu bersikap 'degil' dalam berdepan dengan cabaran dan kritikan pihak tertentu yang mahukan industri sawit ditutup.

"Lebih banyak perkara negatif kepada Felda, lebih kuat (kita) bekerja. Ia (Felda) tidak peduli (dengan) orang marah, (Felda) teruskan kerja secara profesional dan bertanggungjawab.

NONE "Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Felda. Ada masa degil ini diperlukan," katanya.

Beliau mendakwa terdapat  pelbagai tohamahan dan andaian terhadap industri perladangan sawit di Malaysia.

"Ada di kalangan mereka yang bergembira sekiranya industri sawit ini ditutup," katanya di majlis penyerahan Sijil Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO) di Wisma Felda di ibunegara hari ini.

Bagaimanapun pihaknya dapat mempertahankan industri tersebut dengan memperolehi pengiktirafan yang lain melalui keedah tertentu, antaranya mendapat  ISO9000, ISO1400 dan ISO18000.

Sehubungan itu, Yusof  menegaskan bahawa penganugerahan sijil RSPO kepada kedua-dua kilang tersebut "bukan sahaja memulih imej atau pentadbiran, malah telah menaikkan imej negara".

Felda "Ini kerana Felda terletak di Malaysia dan ladang-ladang berkaitan mendapat sijil di Malaysia. Bukankah itu menaikkan imej negara?" katanya.

Katanya, Felda adalah agensi pekebun kecil pertama di dunia yang mendapat RSPO.

Sijil bertarikh 22 Jun 2010 itu diberikan kepada dua kompleks sawit iaitu Kilang Sawit Kota Gelanggi 1 dan Kilang Sawit Utara 6 di Pahang dan 11 rancangan Felda yang menghantar hasil sawit ke kilang ini.

Kesemua ladang yang terlibat merangkumi 22,268 hektar.

Menurut Yusof, sijil tersebut diharap menjadi pembuka jalan kepada lebih 60 kilang yang lain untuk memperolehi sijil yang sama.

"Perkara itu tidak mustahil, dan tidak mustahil (tempoh) itu dapat dipendekkan.

"Sekiranya kita mendapat RSPO, ia dapat membuka mata agensi lain terhadap Felda dan (mereka) lebih menghargai Felda. (Dan) bukan menyatakan Felda bankrap seperti yang disifatkan oleh sesetengah orang.

"Hanya orang yang tidak bermoral, yang ada agenda politik, yang berkata demikian," tegasnya.

Menurut Yusof lagi, kejayaan yang diperolehi Felda bukan bertujuan untuk mengangkat diri sendiri, tetapi sebaliknya untuk meningkatkan lagi kekuatan agensi kerajaan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS