Wartawan dan jurugambar yang berkumpul di Mahkamah Sesyen sejak pagi ini kecewa apabila mendapati khabar angin kononnya seorang pemimpin akan ditangkap dan didakwa berhubung kes rasuah adalah tidak benar.
Sebelum ini, tidak kurang 15 petugas media berkumpul untuk mendapatkan kepastian khabar angin berkenaan.
Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut tidak berjaya. Tiada juga kakitangan daripada Pejabat Peguam Negara atau bekas pemimpin itu kelihatan berada di situ.
Pada masa yang sama, sekumpulan wartawan dan jurugambar yang lain pula berkumpul di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk tujuan yang sama.
Pejabat Peguam Negara yang dihubungi enggan mengesahkan perkara itu tetapi tidak juga menafikannya. Mereka yang dihubungi pula enggan mengulas dan menyatakan “saya pun tidak tahu apa ceritanya.”
Adalah dipercayai pendakwaan hari ini mungkin berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Pada 29 julai lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa di mahkamah sesyen yang sama atas tuduhan memperdayakan kerajaan bagi memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali PKFZ, pada 2002.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di tingkat empat, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya.
Ling yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun yang sama.
Beliua mengaku tidak bersalah dan sekarang ini dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sementara menunggu perbicaraan.