Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbualan telefon: Wan Azizah selar Ezam
Diterbitkan:  Aug 11, 2010 5:28 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memberi amaran kepada Senator Ezam Mohd Noor bahawa beliau berdepan dengan tindakan undang-undang jika terus memfitnahkannya.

NONE Wan Azizah merujuk kepada laporan portal berita Agenda Daily , di mana Ezam ( kiri ) dilaporkan mendakwa beliau diarahkan olehnya supaya menghalang lelaki daripada mendekati suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga adalah ketua pembangkang.

Ezam dilaporkan berkata waktu itu Wan Azizah bernada cemas ketika membuat pesanan supaya “sebagai seorang adik, tengok-tengokkan abang dia…”

“Wan Azizah, minta malam itu saya jangan keluar dari rumah selagi budak lelaki itu ada di rumah…untuk pastikan Anwar tidak berdua,” kata bekas ketua pemuda PKR yang berpaling tadah itu.

Perbualan telefon itu berlaku ketika Wan Azizah berada di Washington manakala Anwar pula di kediaman mereka ketika itu di Bukit Damansara semasa bercuti daripada tugasan mengajarnya di Amerika.

NONE “Saya tidak pernah menelefon beliau mengaitkan Saudara Anwar seperti tohmahan tersebut. Saya kesal kerana nafsu politik beliau tidak ada batas; sehingga sanggup memfitnah saya selaku isteri dan ibu.

“Ternyata untuk kekal relevan sebagai alat pimpinan Umno, kerja beliau hanya mencerca kami,” kata Wan Azizah dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini

Menurut Presiden PKR itu, pada asalnya, beliau enggan melayan sebarang kenyataan Ezam tetapi kerana tuduhan tersebut berulang dan mengaitkan namanya secara peribadi, beliau memberi amaran kepada Ezam supaya hentikan kerja fitnah yang jelas fasiq.

“Sekira beliau mengulangi fitnah tersebut, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan merujuk beliau ke Mahkamah dan Mahkamah Syariah.” katanya lagi.

Menurut Agenda Daily lagi, Ezam terus mempertahankan pendiriannya itu dan mencabar Wan azizah membuat sumpah laknat.

Ezam sebelum ini adalah orang kanan Anwar dan pernah menjadi setiausaha politik bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau menyertai Umno semula pada Mei 2008 dan sejak itu melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Anwar khususnya pada pilihan raya kecil dan terbaru di pentas ceramah ‘Selamatkan Selangor’.

ADS