Ucapan kontroversi Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek berhubung negara Islam baru-baru ini dibidas lagi, kali ini oleh Pemuda PAS.
Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan ( kiri ) berkata, melalui kenyataaannya pada konvensyen tahunan MCA Kedah di Alor Star telah memberi tanggapan kononnya negara-negara Islam "tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang".
Justeru, beliau menyifatkan Chua mengalami "Islamophobia" atau takutkan Islam yang parah.
"Tambah malang beliau membuat rujukan yang lemah dan mentah mengenai Islam dan penganutnya apabila hanya menjadikan tulisan Syed Akbar Ali (dalam Malaysia and the Club of Doom ) sebagai asas kajian kesnya tetapi tidak pula merujuk kepada para alim ulama atau cendikiawan Islam yang muktabar (terkemuka)," kata Nasruddin.
Pada 6 Ogos lalu, Chua dilaporkan membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana didakwa menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.
Merujuk kepada buku Syed Akbar, Chua menyenaraikan semula beberapa ciri-ciri umum di 57 negara-negara Islam di seluruh dunia, antaranya, kurang demokrasi kerana terlalu mementingkan agama; pemimpin Islam veteran menikmati kuasa mutlak dan membuat dasar yang tidak setara dengan pembangunan global.
Ucapan itu mengundang kritikan keras daripada pemimpin pembangkang sama ada yang Islam dan bukan beragama Islam, antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Dalam kenyataaannya hari ini, Nasruddin berkata, kenyataaan tersebut agak keterlaluan apabila Chua didakwa membuat kesimpulan bahawa negara-negara yang majoriti umat Islam banyak mengamalkan rasuah.
"Saya lihat ini adalah kesan Chua Soi Lek berada lama dalam BN bersama dengan Umno yang melihat dari dekat bagaimana rasuah itu berlaku secara berleluasa, sehingga rasuah itu hanya melintas dari celah paha mereka," katanya.
"Chua Soi Lek gagal membezakan Islam yang diperjuangkan oleh PAS berbanding UMNO yang hanya mengaku Islam tetapi tidak mengaplikasi Islam dalam sistem pemerintahan mereka."
Naruddin berkata, ucapan Chua itu adalah satu kenyataan murahan yang cuba meraih publisiti baru selepas 'ribut tsunami' yang memecah belahkan kesatuan dalam MCA sendiri.
"Pemuda PAS nasihatkan Chua Soi Lek terlebih dahulu mengurus MCA dengan baik serta gilap kembali nilai integriti diri agar dirinya benar-benar diterima oleh MCA dan rakyat.
"Langkah beliau mempertikai atau mempersoal perjuangan PAS adalah dilihat sebagai satu tindakan eskapisme," katanya.