Dua kumpulan Islam terbesar di Indonesia hari ini tampil menyatakan sokongan kepada kaedah latihan yang dijalankan ESQ Leadership Center Sdn Bhd sebagai program yang tidak menyimpang daripada ajaran Islam.
Pandangan itu dinyatakan demikian ketua umum Muhammadiyah Prof Din Shamsuddin dan pemimpin Nahdhatul Ulama Drs Amidon Shabirah yang hadir ke satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad.
Ketika menjawab satu soalan, Din berkata beliau mengalu-alukan pertemuan dan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi yang mewartakan fatwa bahawa latihan ESQ Leadership Training sebagai haram.
"Kita boleh bincang semua masalah untuk jernihkan hubungan antara kita... Kami sangat terbuka (untuk bertemu) tambahan lagi kami sudah datang ke (Malaysia)," katanya.
Difahamkan, usaha untuk mengatur pertemuan di antara pengurusan ESQ Leadership Center di Malaysia telahpun dijalankan melalui Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Din juga menyifatkan alasan yang diberikan Mufti Wilayah Persekutuan dalam memfatwakan ESQ sebagai haram merupakan alasan umum.
"Saya menilai kenyataan itu terlalu umum dan tidak mendasari hujah yang luas," katanya yang telah meneliti sepuluh alasan yang dikemukakan dalam pewartaan pengharaman tersebut.
"Dalam Islam kita diminta berhati-hati untuk menilai orang Islam sebagai sesat atau keluar akidah.
"Tidak semudah itu untuk menuduh seseorang sebagai sesat. Kalau saya ditanya, saya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan (sebagai mufti)," katanya lagi.
Katanya, MUI mempunyai beberapa biro, termasuk biro fatwa dan biro kajian yang akan menjalankan penelitian terhadap aktiviti mazhab tertentu yang 'disangsikan' seperti gerakan Ahmadiah.
Jelasnya, persidangan MUI terakhir bagaimanapun tidak membincangkan perkara itu kerana ia dianggap bukan satu isu besar.
"Di Indonesia, isu ini dianggap sudah selesai," kata Din lagi.