Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Slogan 1Malaysia tak jelas
Diterbitkan:  Aug 2, 2010 2:56 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Penjelasan terperinci dan menyeluruh berhubung slogan 1Malaysia wajar diberi bagi mengelak pandangan dan pendapat berbeza dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad.

NONE "Saya bercakap dengan orang Cina, orang Melayu, masing-masing  ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan, saya berpendapat satu  penjelasan perlu dibuat," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam  Malaysia (Perkim) berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Multaqa Yang Dipertua Perkim bersama Guru-guru Pendidikan Islam dan warga Perkim peringkat zon utara di Georgetown hari ini.

"Mereka (rakyat) tidak tahu yang mana satu, yang mana untuk orang Cina dan yang mana untuk orang Melayu. Kalau suruh saya buat  penjelasan, mana saya tahu bukan saya yang buat slogan itu," katanya.

Hanya dakwaan

    

Ketika diminta mengulas mengenai kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh di mahkamah berhubung kes projek Zon Bebas  Pelabuhan Klang (PKFZ), Dr Mahathir berkata tidak ada sesiapa boleh terlepas daripada proses undang-undang sama ada golongan kenamaan ataupun bukan.

NONE "Itu baru dakwaan, sama ada benar atau tidak, terpulang kepada  pihak yang bertanggungjawab menjelaskan. Jika dia tidak salah, harap peguamnya dalam membuktikannya," katanya.

Ling, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Jumaat lalu terhadap  tuduhan menipu kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di  Pulau Indah di Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution  Hub' yang kini dikenali Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.

Beliau didakwa memperdaya Jemaah Menteri supaya bersetuju  dengan terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB)  dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang dengan curang menyembunyikan  fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta,  Kementerian Kewangan bagi tanah terbabit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS