Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ vs Ibrahim Ali Ahad ini
Diterbitkan:  Jul 30, 2010 12:52 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan berkongsi pentas dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4 Ahad ini.

Mereka akan bertemu dalam majlis tersebutyang berkemungkinan besar bertukar menjadi debat.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau - dalam jawapannya kepada Malaysiakini melalui SMS - mengesahkan beliau akan menghadiri sidang kemuncak tersebut.

khairy jamaluddin umno youth chief 250309 Sebelum itu, Khairy menulis dalam Twitternya: "Ada apa Ahad ini, saya dijemput berdepan dengan... Ibrahim Ali. Patutkah saya pergi?".

Selepas itu, ketika menjawab soalan pengikut twitternya - sama ada beliau akan menghadiri majlis tersebut - Khairy menulis: What do you think? I am Ketua Pemuda .

Memandangkan pada tajuknya serta sejarah hubungan antara kedua-dua mereka, maka forum ini menjanjikan sesuatu yang menarik - antara Khairy yang mengaku dirinya seorang reformis dan Ibrahim yang lantang bersuara - yang beberapa kali 'bertembung' sebelum ini.

Ianya bermula apabila Khairy 'menyelamatkan' Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, yang menjadi sasaran kecaman PERKASA pimpinan Ibrahim.

Sewaktu mendesak kerajaan mengekalkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) - di mana sejumlah yang terhad disediakan kepada bukan bumiputera - Wee berkata pelajar bumiputera juga akan terasa diabaikan jika jumlah biasiswa MARA dikurangkan.

Berikutan itu, Ibrahim menggesa Khairy supaya tidak menjadi 'pengkhianat' terhadap bangsanya sendiri dan berlaku perang mulut antara mereka sehingga ke peringkat memberi gelaran antara satu sama lain.

Khairy menggelar Ibrahim sebagai 'jaguh kampung' dan  'gedebe oportunis'.

Ibrahim pula membalasnya dengan menggelar Khairy sebagai seorang pemimpin yang lemah di mana kepimpinannya telah melemahkan Pemuda Umno, dan mengabaikan keperluan akar rumput orang Melayu, dan ruang itu kini diisi oleh PERKASA.

Sementara itu, ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kelantangannya Khalid Samad turut ditampilkan sebagai ahli panel dalam sidang yang turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyampai ucaptama.

Khalid dan Ibrahim juga sering bertembung secara terbuka dalam pelbagai isu, termasuklah isu biasiswa MARA baru-baru ini, apabila mereka dilihat saling memperlecehkan antara satu sama lain.

Menulis dalam laman Twitter malam tadi, Khairy juga bersuara, disebabkan beberapa pemimpin dan timbalannya yang tidak gemar berkongsi pentas dengan pelajar atau pemimpin pembangkang, beliaulah yang terpaksa menggantikannya.

"Jadi saya selalu dapat jemputan daripada pihak ketiga," katanya ketika mengemaskini status di laman blog mikronya itu.

azlan "Jadi inilah jemputan di saat-saat akhir yang saya perlu putuskan. Nampaknya dua menteri menolaknya, jadi tiada sesiapa lagi (untuk mewakili Umno)"

Dalam masa yang sama, Khairy berkata, sesetengah media asing, terutamanya saluran televisyen, sukar mendapatkan menteri bagi menyertai program mereka.

"Sayalah yang terpaksa wakili Umno. Tetapi, selepas (Datuk Seri) Zainuddin Maidin di (stesen televisyen) Al Jazeera ...," tulisnya lagi tanpa menghabiskan ayat tersebut.

Dalam reaksi terhadap perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada November tahun lalu, Zainuddin - menteri penerangan ketika itu - menjadi bahan ketawa banyak pihak, ekoran ulasannya berhubung 'perhimpunan haram' itu kepada Al Jazeera yang dilihat 'berterabur'.

[Baca berita lanjut]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS