Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN Galas dari PAS, Che Hashim Sulaiman, 46, beransur pulih selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana Kota Bharu awal minggu ini, kata setiausahanya Husin Embong.

NONE Husin Embong berkata, Che Hashim yang baru pulang daripada menerima rawatan kemoterapi di China, dimasukkan ke unit tersebut untuk mendapatkan rawatan setelah mengadu sesak nafas.

Katanya, Che Hashim setakat ini beransur pulih dan dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan tomografi berkomputer (CAT Scan) untuk memastikan tahap kanser yang dihadapinya.

"Tapi doktor mahu dia bertambah stabil sebelum buat CAT Scan. (Imbasan itu) untuk tengok setakat mana kesan rawatan di China itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, doktor akan menentukan rawatan susulan yang perlu selepas melihat hasil imbasan tersebut.

"Jadi setakat ini kita belum dapat tentukan lagilah bila dia boleh keluar hospital," katanya lagi.

Dilaporkan, wakil rakyat PAS itu disahkan menghidap barah usus kira-kira tiga bulan sebelum beliau pergi ke China, selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Mengulas laporan tersebut, Husin berkata laporan itu adalah "tidak betul" kerana rawatan kemoterapi yang diterima oleh Che Husin di China adalah bagi merawat kanser paru-paru dan bukannya kanser usus.

kerusi dun galas 140709 Katanya lagi, anggota keluarga Che Hashim juga sentiasa menemani wakil rakyat itu, malah mereka juga tingal di sebuah apartmen berhampiran hospital berkenaan supaya mudah menziarahinya.

Sementara itu, ADUN Air Lanas, Abdullah Yaakub berkata beliau telah menziarahi Che Hashim semalam dan berkata keadaan rakannya itu bertambah stabil.

"Dia sedarkan diri. Tapi dia tidak bercakap kerana doktor mahu dia berehat," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengesahkan bahawa Che Hashim sebenarnya mengidap kanser paru-paru dan bukannya barah usus seperti yang dilaporkan.

"Dia masuk hospital sebab pernafasan, bukan kanser usus," tambahnya. 

Sebelum ini, Bernama melaporkan Che Hashim dirawat di ICU kerana barah ususnya yang dihidapi sejak kira-kira setahun lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Che Hashim berjaya merampas kerusi DUN Galas dari BN dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandangnya Saufi Deraman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS