Ada tindakan disiplin yang diambil oleh sesetengah sekolah terhadap pelajar didapati tidak bersesuaian dan perlu diganti, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan.
Katanya dakwaan wujudnya kes pelajar digantung sekolah akibat kelewatan datang ke sekolah adalah tidak munasabah.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai terdapat sekolah di Lembah Klang yang mengenakan hukuman gantung sekolah selama dua minggu bagi pelajar yang selalu lewat datang ke sekolah.
"Datang lewat jarang diambil tindakan macam tu, sebaliknya jika kes-kes berat seperti memukul guru atau merosakkan barang-barang guru yang dikategorikan kes berat, barulah tindakan seperti itu boleh diambil," katanya.
Hashim berkata kekeliruan mengenai jenis tindakan disiplin yang patut diambil timbul akibat tiadanya perincian dalam garis panduan Peraturan Pendidikan yang dikeluarkan empat tahun lepas berhubung tindakan yang sesuai yang perlu diambil terhadap pelajar.
"Saya bimbang (jika hukuman gantung dari sekolah ini dilaksanakan) ia akan menjadi trend dan ikutan di kalangan pelajar yang secara sengaja akan datang lembat ke sekolah agar mereka boleh digantung persekolahan," katanya.
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata, sekiranya benar peraturan itu dilakukan ia sesuatu yang mendukacitakan kerana kes yang ringan dikenakan dengan hukuman yang berat yang tentunya tidak setimpal dan berlawanan dengan garis panduan yang dikeluarkan.
Beliau berkata walaupun guru besar dan pengetua diberi kuasa memutuskan hukuman tetapi ia perlu berlandaskan garis panduan Kementerian Pelajaran di samping memaklumkan kepada PIBG manakala pelajar itu diberi amaran dan kaunseling terlebih dahulu.
"Setiap hukuman yang diambil perlu memikirkan masa depan pelajar terbabit. Janganlah nanti kita dianggap sebagai kurangnya sifat kemanusiaan kerana melanggar kewajaran dalam menentukan hukuman," katanya.
Mohd Ali berkata walaupun semua bentuk kesalahan dan jenis hukuman terkandung dalam buku panduan tersebut tetapi ia masih perlu dikemaskini agar lebih terperinci dan memudahkan pendidik untuk merujuk sekiranya ingin memutuskan sesuatu tindakan.
Menjadikan kes lewat ke sekolah sebagai contoh, beliau berkata, bentuk hukumannya memang tersedia tetapi tidak secara terperinci dengan hanya meletakkan lewat sahaja.
"Jika lewat lima minit pun tetap dikira lewat, jadi apakah bentuk hukumannya sama dengan pelajar yang lewat satu jam. Sebab itu garis panduan ini perlu dikemaskini dengan dinyatakan had masa kelewatan dan jenis hukuman yang akan
dikenakan," katanya.
Beliau berkata jenis hukuman berdasarkan umur dan jantina juga perlu diperinci dan diselaraskan agar tidak berlaku keraguan sekiranya hukuman dilaksanakan.
Mohd Ali berkata untuk membuat penyelarasan semula Kementerian Pelajaran perlu melibatkan beberapa pihak berwajib seperti polis, peguam, ahli agama, ahli kaunseling, ahli psikologi dan PIBG supaya setiap pembaharuan yang dibuat memuaskan semua pihak.
Katanya buku panduan itu perlu diedarkan kepada waris pelajar untuk mereka memahami bentuk dan jenis hukuman yang boleh dikenakan sekiranya anak mereka melakukan sesuatu kesalahan.
- Bernama