Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad terus mendesak Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali supaya menyaman Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu kerjasama PAS-Umno.

Khalid berkata, tindakan itu perlu diambil supaya "keikhlasan dan ketelusan" exco kerajaan Selangor itu tidak dipersoalkan oleh ahli PAS.

"Oleh itu, kami amat berharap agar saman terhadap Tan Sri Harussani disegerakan oleh pihak Datuk Pesuruhjaya supaya terbukti bahawa beliau telah ditipu dan beliau tidak reda ditipu sebegini rupa oleh Umno dan konco-konconya," katanya.

azlan Khalid mengulas keputusan PAS Selangor yang berpendapat tidak perlu menyaman Harussani berhubung isu kerjasama PAS-Umno kerana kontroversi pertemuan itu "tidak pernah menjadi isu bagi PAS dan gabungan pembangkang di negeri itu".

Desakan agar Hasan mengambil tindakan undang-undang ditimbulkan dalam munaqasyah (perbincangan) PAS negeri di Shah Alam, Ahad lalu.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid berharap ahli-ahli parti Islam itu tidak mempertikaikan tindakan Hasan kerana "sebagai ahli, tuntutan wala (kesetiaan) dan thiqah (kepercayaan) mesti dipertahankan".

Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam turut menolak dakwaan Hasan "ingin melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan disiplin".

"Ini merupakan satu kemungkinan sahaja, akan tetapi amatlah malang sekiranya PAS Selangor mempunyai seorang pesuruhjaya yang menipu.

"Berdasarkan tarbiah (didikan) dan latihan keagamaan yang dibangga-banggakan sebagai asas kekuatan PAS, kemungkinan adanya pesuruhjaya negeri yang sanggup berbohong adalah hampir mustahil!

azlan "Ianya satu kemungkinan yang perlu ditolak mentah-mentah. Tidak mungkin Datuk Pesuruhjaya menipu kepada ahli dan pimpinan PAS serta rakyat jelata. Tidak mungkin!" tegas Khalid.

Bagaimanapun, Khalid mendakwa Hasan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS telah melakukan "kesilapan" kerana "membenarkan dirinya ditipu oleh seorang mufti Umno/BN yang tegar".

"Kesilapan beliau adalah kesilapan menghormati dan menyanjungi Tan Sri Harussani dan menjadikan beliau sebagai seorang pakar rujuk. Kesilapan ini adalah kerana kurang bijaknya beliau dalam mengenali sifat lawan.

"Namun, kurang bijaknya itu bukanlah satu kesalahan. Seperti kata-kata pujangga Inggeris, stupidity is not a crime (kebodohan bukanlah jenayah)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS