Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi ahli penyelamat operasi Lubuk Yu meninggal dunia
Diterbitkan:  Jul 27, 2010 7:01 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka yang terlibat dalam operasi mencari mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran pada 26 hingga 30 Jun lalu, menjadi mangsa terbaru maut akibat jangkitan Melioidosis dan Leptospirosis.   

Mangsa Mohd Noor Abidin Ismail, 50, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada 3.11 pagi tadi.

Allahyarham yang merupakan mangsa ketujuh meninggal dunia akibat jangkitan itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mat Kilau pada 11.30 pagi.

Isterinya Noorzakiah Mohd Jusof, 40, berkata,allahyarham telah dipindahkan daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa semalam setelah keadaannya didapati stabil dan beransur pulih.

Beliau yang sebak ketika ditemui pemberita berkata semasa operasi di Lubuk Yu, suaminya tidak terlibat menyelam ke dasar sungai, sebaliknya hanya ditugaskan menjaga peralatan dan logistik bomba.

Belum sempat berpindah

"Dia mula demam apabila selesai menjalani operasi berkenaan dan ditempatkan di ICU kerana bakteria itu memberi kesan kepada tubuhnya, tambahan pula suami saya turut mengidap kencing manis," katanya.

Noorzakiah yang pasrah dengan apa yang berlaku, juga berkata dia dan suaminya baru membeli sebuah rumah dan belum sempat berpindah setelah kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

Hadir sama menziarah keluarga Mohd Noor ialah ADUN kawasan Damak Datuk Lau Lee, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Amir Yusof dan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan Ibu Pejabat Bomba Dan Penyelamat Malaysia Zulkarnain Mohd Kassim.

Amir berkata Mohd Noor adalah mangsa pertama membabitkan anggota bomba yang terlibat dalam operasi Lubuk Yu dan pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung kematian itu.

Katanya pihaknya juga akan melihat semula kaedah yang diguna pakai selain meningkatkan lagi kawalan keselamatan bagi anggota bomba dalam mana-mana operasi menyelamat pada masa depan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rosnah Ismail ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

21 kes setakat ini

    

"Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan kes yang disyaki ialah sebanyak 21 kes.

"Dari jumlah itu, empat masih dirawat di hospital iaitu tiga kes di Hospital Jengka dan satu di Hospital Selayang, semua mereka (yang) terbabit (dalam keadaan) stabil," katanya.

Dr Rosnah berkata mangsa terbaru yang meninggal dunia itu sebelum ini pernah

ditempatkan di Hospital Jengka pada 3 Julai sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 8 Julai untuk rawatan lanjut.

"Mangsa sebelum ini telah didiagnosis sebagai Melioidosis dan Leptospirosis dan diberikan rawatan antibiotik, mangsa juga menghidap diabetis, keadaan mangsa kemudiannya stabil, dan ditempatkan di wad biasa pada 26 Julai," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Allahyarham Mohd Noor mendapat serangan jantung dan disahkan meningal dunia.

Dr Rosnah berkata punca kematian mangsa adalah akibat serangan jantung yang disebabkan penyakit diabetis.    

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS