Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali diminta mengambil tindakan undang-undang terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ekoran dakwaannya bahawa pemimpin PAS itu telah menemuinya untuk membincangkan kerjasama politik PAS-Umno.

Perkara itu timbul dalam majlis munaqasah PAS negeri itu di dewan auditorium MBSA di Shah Alam awal hari ini, demikian menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ahli parlimen Kota Raja, Siti Mariah  Mahmud dilapor mengemukakan cadangan tersebut ekoran implikasi  serius dakwaan tersebut terhadap perpaduan parti.

Bagaimanapun, ketika dihubungi selepas mesyuarat tersebut, Siti Mariah enggan mengulas mengenainya.

Sebelum ini, pemimpin PAS, termasuk naib presidennya Mahfuz Omar (kanan) menuntut Harussani memohon maaf selepas Hasan Ali menafikan bahawa pertemuannya dengan mufti Perak itu membincangkan kerjasama PAS-Umno.

Versi online akhbar rasmi PAS  - Harakah - hari ini melaporkan tuntutan Mahfuz itu di mana beliau berkata Harussani juga harus meletak jawatan sebagai mufti Perak kerana beliau pernah berkata bahawa sebagai mufti, beliau tidak akan membuat kenyataan yang bertentangan, sedangkan dakwaannya yang dibuatnya mengenai Hasan adalah palsu.  

Khalid Samad memberitahu Malaysiakini bahawa Hasan telah menjelaskan dalam majlis munaqasah hari ini mengenai pertemuannya dengan mufti Perak itu, serta mengulangi penafiannya berhubung perkara tersebut.

"Beliau berkata beliau menemui Harussani hanya untuk belajar dari mufti Perak yang telah menjadi mufti selama 30 tahun. Dia menyangkal bercakap tentang isu kerajaan perpaduan. Pada dasarnya, beliau berkara Harussani pembohong. Itu adalah intipatinya," kata. Khalid.

Hasan yang terlihat untuk cenderung bekerjasama dengan Umno, menjadi sasaran kecaman hebat berhubung pertemuannya dengan mufti Perak itu.

Harussani sebelum ini menawarkan dirinya untuk menjadi orang tengah dalam usaha "menyatukan umat Islam kdan orang Melayu" di negeri ini.

Menurut mufti Perak, pemimpin dari PAS dan Umno telah menemuinya baru-baru ini untuk membincang dan mendapatkan pandangannya bagi menyatukan dua parti politik terbesar orang Melayu di negara ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS