Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin Umno hari ini terus mengajak PAS duduk bersama bagi membincangkan soal perpaduan dan kepentingan rakyat serta umat Islam di Malaysia.

NONE Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha itu merupakan "usaha berterusan" dan pintu rundingan untuk perpaduan umat Islam kepada parti masih lagi terbuka.

"Kita bercakap perpaduan umah dan perpaduan umat Islam," katanya sambil membaca sepotong ayat al-Quran berkaitan kewajipan bersatu padu pada "tali Allah".

"Saya nak ajak (PAS), mari duduk sama. Kita bukti ayat ini yang turun kepada kita. Kita dok letak syarat, sampai bila perpaduan tak akan selesai. Kita duduk bincang dulu," katanya yang juga ketua penerangan Umno Kedah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar pemikiran Islam bertemakan "(aliran) al-Asyairah dan cabaran mutakhir" di Akademi Pengajian Islam UM petang ini.

Jamil Khir menjelaskan lagi, kejayaan perbincangan antara PAS dan Umno bergantung kepada persetujuan parti Islam itu.

"Kita tak boleh nak paksa orang datang kepada kita," katanya.

Beliau juga berharap semua ulama dan kumpulan NGO turut sama memainkan peranan bagi menjayakan perpaduan sesama umat Islam.

"Saya tidak bercakap soal parti sahaja, kita bercakap tentang perpaduan umat sejagat.

"Di Malaysia, bukan (antara) Umno dan PAS semata-mata, tapi semua orang di Malaysia. Kita menghadap kiblat yang sama, baca (surah) al-Fatihah yang sama, puasa sama, haji sama dan sembahyang sama.

"Tapi sedikit sahaja perbezaan, kita tidak boleh menyelesaikan (masalah) masa depan umah dan umat Islam di Malaysia," katanya.

Sebelum itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam seminar tersebut, Jamil Khir memuji kebijaksaaan ulama terdahulu menyaring kepelbagaian terhadap isu-isu akidah.

"Saya difahamkam ramai tokoh-tokoh ternama dari negara Arab ingin melibatkan diri dalam seminar ini memandangkan isu-isu pelampauan dan terorisme cuba dikaitkan sebagai berpunca dari salah faham terhadap pemahaman dan tafsiran teks-teks yang berkaitan dengan akidah," katanya.

Sebanyak 32 kertas kerja dibentangkan dalam seminar tiga hari bermula hari ini.

ADS