Jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Pulau Pinang mungkin akan memutuskan nasib ketua pembangkang negeri Datuk Azhar Ibrahim tanpa perlu mendengar penjelasannya terlebih dahulu.
Speaker Abdul Halim Hussain ( kanan ) yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata, Azhar tidak diperlukan hadir memberikan pandangannya jika anggota jawantakuasa mempunyai maklumat yang mencukupi bagi mengusulkan cadangan tindakan kepada DUN.
Jawankuasa yang ditugaskan memutuskan sama ada Azhar menggunakan perkataan menghasut dalam sidang pada Mei lalu, akan bermesyuarat sekali lagi pada awal Ogos bagi memutuskan keperluan memanggil Azhar, tambah Abdul Halim.
"Ia melibatkan perbincangan sama ada ada Azhar sengaja menggunakan perkataan sebegitu dalam sidang pada Mei lalu," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di bangunan DUN semalam.
"Kita juga akan putuskan sama ada untuk mengundang Azhar bagi mendengar pandangannya atau tidak panggil sama sekali," katanya.
Difahamkan bahawa Azhar (bawah) turut "berhubung" dengan ADUN Umno yang terlibat dalam jawatankuasa dengan keanggotaan tujuh orang itu.
Jawatankuasa itu dianggotai Jasmin Mohammad (BN-Sungai Dua), Shahabudin Yahya (BN-Permatang Berangan), Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar), Tan Cheong Heng (DAP-Padang Lallang), S Raveentharan (PKR-Batu Uban), Lau Keng Ee (DAP-Pengkalan Kota) dan Zabariah Binti Wahab (BN-Bertam).
Dalam mesyuarat terakhir pada Jun, ADUN Umno dilaporkan bertanya sama jawatankuasa itu patut memanggil Azhar bagi mengemukan pandangannya.
Pada 6 Mei, Azhar dilaporkan berkata bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika rakyat hilang keyakinan dengan pihak berkuasa dan sistem sedia ada.
Berucap di sesi DUN - ketika mengulas bidasan orang ramai berhubung kematian remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis - Azhar menyoal sama ada rakyat mahu tentera mengambil alih negara memandangkan polis didakwa tidak lagi berkesan.