PAS hari ini menggesa kerajaan menjamin keselamatan bekas sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N Tharmendran yang mendakwa dia diugut oleh bekas rakan-rakannya berhubung kes kecurian enjin jet.
"Saya tidak mahu Tharmendran menerima nasib yang sama seperti apa yang terjadi kepada saksi-saksi utma kes berfoail tinggi, di mana mereka terpaksa melarikan diri demi keselamatan,” kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pada sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
Salahuddin secara tidak langsung merujuk kejadian penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mendakwa beliau terpaksa ‘menyembunyikan diri’ selepas membuat pendedahan mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sebelum ini, bapa Tharmendran mendakwa anaknya didera dan dipukul seperti lembu oleh pegawai TUDM dan dipaksa mengaku bertanggungjawab mencuri dua enjin pesawat pejuang F5.
Selepas dibebaskan dengan ikat jamin, Tharmendran menyembunyikan diri dan mendakwa pegawai TUDM cuba membawanya ke pangkalan tentera udara, walaupun dari segi teknikal, beliau kini adalah orang awam.
Salahuddin pada sidang media hari ini, juga menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat secara terperinci kes berprofil tinggi tersebut.
"Oleh kerana kes ini berlaku semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan, maka saya berpandangan ia tidak boleh diselesaikan dengan proses mahkamah biasa dan Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.
Hadir sama pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi tadi, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Bagi saya mustahil kes ini hanya melibatkan seorang pegawai bawahan biasa, ianya perlu dibongkar dan disiasat," ujarnya lagi.
Rakyat Malaysia, katanya tidak mahu lagi melihat Tharmendran menjadi orang yang keseterusnya bertindak ke luar negara bagi mencari perlindungan dan menyelamatkan diri dari ancaman.
Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun dua minggu lalu, Tharmendran dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.