Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1 Ogos: Pemilik kenderaan asing tak boleh beli RON95
Diterbitkan:  Jul 16, 2010 8:49 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Bermula 1 Ogos ini, pemilik kenderaan asing tidak lagi dibenarkan membeli petrol RON 95 di stesen-stesen minyak di negara ini.

    

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik kenderaan tersebut hanya dibenarkan membeli petrol RON 97 yang diapungkan secara terkawal melalui penyelarasan subsidi yang diumumkan kerajaan.

    

"Pelaksanaan ini adalah sesuai dengan dasar kerajaan yang mana subsidi hanya untuk rakyat Malaysia dan bukan kepada pemilik kenderaan asing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Koperasi Negara yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuantan hari ini.

    

Semalam, kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan lima sen manakala petroleum gas cecair (LPG) dikurangkan 10 sen sekilogram berkuatkuasa hari ini.

    

Petrol RON 97 pula tidak lagi diberikan subsidi dan harga akan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penyelarasan subsidi itu tidak sepatutnya memberi kesan kepada harga barangan pada masa ini.

Beliau berkata, kenaikan bahan terbabit adalah kecil dan pihaknya telah melakukan kajian terhadap kos yang terpaksa ditanggung peniaga.

"Contohnya harga teh tarik, dengan kenaikan gula sebanyak 25 sen sekilogram ini, kenaikan kos adalah sebanyak 1.2 sen sahaja, tidak ada sebab kalau kedai-kedai teh tarik mahu menaikkan harga di antara 10 hingga 20 sen," katanya.

Justeru, katanya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengeluar, pemborong dan peruncit Isnin ini dalam mendapatkan komitmen mereka supaya tidak menaikkan harga barangan.

    

Selain itu, katanya, kementeriannya juga akan menggerakkan 1,600 pemantau harga dan 2,000 pegawai penguatkuasa di seluruh negara bagi memastikan tiada berlaku kenaikan harga barangan.

    

Beliau turut meminta para pengguna memaklumkan segera kepada pihaknya jika terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati untuk tindakan lanjut.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS