Perbicaraan kes liwat membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan Isnin ini mungkin ditunda berikutan peguam utamanya, Karpal Singh terpaksa menjalani rawatan untuk jangkitan paru-paru.
Dalam SMS kepada Malaysiakini , Sankara Nair, seorang lagi peguam Anwar berkata Karpal diberikan cuti sakit 15 hari kerana jangkitan paru-paru yang akut.
Karpal dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya minggu lalu dan sekarang ini berehat di kediamannya di Pulau Pinang.
“Doktor telah memberikannya MC (sijil cuti sakit) untuk 15 hari iaitu dari 9 hingga 23 Julai,” kata Sankara.
“Kita telah menulis kepada mahkamah memohon perbicaraan ditangguhkan dan arahan hakim ialah kita membuat permohonan pada mahkamah Isnin ini,” kata Sankara.
Menurut beliau, peguam lain Anwar akan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengemukakan permohonan.
Perbicaraan liwat sebelum ini ditunda dari 14 hingga 19 Julai kerana Anwar (PKR-Permatang Pauh) dan Karpal (DAP-Bukit Gelugor), kedua-duanya ahli parlimen terpaksa menghadiri sidang Parlimen pada 14 dan 15 Julai lalu.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.