Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat memutuskan untuk menghentikan penerbitan semua parti komponennya ekoran ancaman yang berulangkali dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang mengeluarkan permit penerbitan mereka.

azlan Ia diputuskan dalam mesyuarat pucuk pimpinan Pakatan di Parlimen hari ini, di mana pemimpin tertingginya memutuskan untuk menangguhkan penerbitan, sementara menunggu satu pertemuan dengan pegawai KDN.

Akhbar rasmi parti komponen Pakatan - Harakah (PAS), Suara Keadilan (PKR) dan Rocket (DAP) telah menerima surat tunjuk sebab dari KDN kerana didakwa melakukan pelbagai kesalaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka akan bekerjasama dengan mematuhi prosedur yang diperlukan dan garispanduan yang dikenakan.

"Buat sementara waktu, lidah rasmi parti sama ada Suara Keadilan, Harakah dan Roket ditangguhkan penerbitannya dan keputusan ini akan dikaji semula minggu depan bagi membolehkan kita bertemu Hishammuddin.

"Kami akan menjawab semua surat tunjuk sebab itu," kata Anwar yang juga ketua umum PKR dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Menurutnya, penerbitan semua akhbar rasmi parti-parti komponen Pakatan ditangguh hingga minggu depan sehingga keputusan dibuat selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan menteri dalam negeri.

Sebelum ini, KDN menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk mengenai FELDA.

PAS turut menerima surat tunjuk sebab daripada KDN berhubung permit yang tamat tempoh pada 7 Julai lalu, kelewatan menghantar salinan keluaran dan menjual akhbar kepada bukan ahli.

Sementara itu, DAP menerima dua surat tunjuk sebab bagi akhbar Roket edisi Bahasa Inggeris dan Cina yang tempoh permit penerbitannya masing-masing tamat pada 30 Jun lalu dan 30 November tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS