Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pembiayaan kepada 1.5 juta pelajar yang membabitkan RM32.62 bilion sehingga 30 April lalu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata daripada jumlah itu 1,054,436 pelajar, atau 70 peratus, terdiri daripada kalangan pelajar dari kaum Melayu.
"Ia diikuti dengan pelajar Cina 266,079 orang (18 peratus), pelajar India 82,146 (lima peratus) dan selebihnya lain-lain kaum seramai 105,990 atau (tujuh peratus)," katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat hari ini.
Teresa bertanya bilangan peminjam PTPTN mengikut pecahan kaum serta negeri asal peminjam sejak pinjaman itu diperkenalkan, dan bilangan peminjam yang merupakan kelulusan Unified Examination Certificate (UEC) sejak diadakan.
Mohamed Khaled berkata berdasarkan pecahan mengikut negeri, pelajar dari Johor paling ramai menerima pinjaman PTPTN dengan jumlah 247,699 pelajar diikuti Perak (169,913), Kelantan (158,770) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (151,884).
Katanya 145,096 pelajar dari Selangor menerima pinjaman PTPTN itu, manakala Kedah (121,754 pelajar), Pahang (91,878), Sabah (89,965), Pulau Pinang (88,274), Sarawak (88,226), Negeri Sembilan (63,320), Melaka (57,133), Perlis (17,932), Terengganu (14,293), Wilayah Persekutuan Labuan (1,522) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (992).
Bagi pelajar kelulusan UEC pula, PTPTN akan mempertimbangkan pembiayaan bagi mereka di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengikut kaedah yang dipersetujui antara PTPTN dan IPTS masing-masing.
Katanya sebagai permulaan, pada masa ini PTPTN sedang dalam tindakan memberikan taklimat kepada semua pelajar yang terlibat mengikut institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing berkaitan dengan tatacara dan kaedah sebelum permohonan secara atas talian dibuat oleh pelajar.
Berdasarkan data yang diperolehi daripada semua IPTS yang terlibat, dijangka pelajar yang akan memohon adalah seramai 488 orang, katanya.
- Bernama