Sekumpulan persatuan mahasiswa mengambil inisiatif menganjurkan kempen pendidikan percuma untuk semua rakyat Malaysia sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Kumpulan tersebut, antaranya Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) kini bergabung bawah nama Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP) bagi tujuan itu.
“Matlamat utama kempen ini adalah untuk memperjuangkan dan mempertahankan hak mendapat pendidikan percuma yang adil untuk semua,” kata penyelaras gabungan itu KS Bawani.
Dalam satu kenyataan, GAMP berkata pihaknya membuat tuntutan berkenaan setelah bertukar-tukar fikiran dalam bengkel antara kumpulan tersebut kelmarin.
Menurut Bawani, sebagai permulaan bengkel "Kempen Pendidikan Percuma" itu dihadiri lebih 30 orang wakil kumpulan anak muda dan aktivis mahasiswa.
"Sebulat suara anak muda yang hadir telah menyokong penuh kempen ini dan barisan jawatankuasa telah dibentuk dengan nama Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP)pada akhir bengkel," katanya
Bawani berkata beberapa topik telah dibincangkan dalam bengkel tersebut antaranya berhubung konsep pendidikan percuma dan analisis tentang sistem pendidikan di Malaysia yang didakwa "hanya cantik di atas kertas bukan dari segi perlaksanaannya".
Katanya, beberapa cadangan aktiviti telah diutarakan. Antaranya program pelancaran logo dan poster kempen, siri jelajah dan forum untuk menyebarkan tuntutan mereka, sekali gus mendapatkan sokongan rakyat.