Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Kedah, Ahmad Subri Zin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini berhubung dakwaan bersubahat meluluskan satu tuntutan palsu tahun lepas.
Dia didakwa meluluskan tuntutan pemilik syarikat Cipta Gemilang Enterprise, Zamiruddin Ma'az, 35, bagi penyediaan makanan untuk 400 peserta seminar Bina Negara anjuran BTN berjumlah RM4,000 di Sekolah Menengah Kebangsaan Aman Jaya, Sungai Petani.
Zamiruddin turut dihadapkan ke mahkamah sama terhadap dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berkenaan.
Kedua-duanya, yang dihadapkan berasingan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Norsharidah Awang.
Norsharidah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kedah, Nazrul Nizam Mohd Zambri supaya kes itu dibicarakan serentak dan menetapkan 17 Ogos untuk mendengar sebutan kes.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Subri dan Zamiruddin secara sedar mengetahui tuntutan Pesanan Kerajaan nombor G10127 bertarikh 15 April 2009 bagi penyediaan makanan sebenarnya palsu kerana penyajian tidak dibuat.
Ahmad Subri didakwa bersubahat kerana menandatangani dokumen tuntutan itu sedangkan pada pengetahuannya sajian tersebut tidak dilakukan manakala Zamiruddin sedar dia mengemukakan tuntutan palsu.
Pengarah BTN Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Zamiruddin pula dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Mereka boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ahmad Subri dan Zamiruddin masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 seorang dengan seorang penjamin.
--Bernama