Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Apa bezanya pelaburan S'pura dan Amerika?
Diterbitkan:  Jul 11, 2010 8:38 PM
Dikemaskini: 11:07 PM

Perdana Menteri meminta semua pihak supaya berfikiran terbuka dan menolak perasaan emosional di dalam isu pelaburan Singapura di negeri Johor, khususnya di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

    

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata, jika Singapura atau negara-negara lain membuat pelaburan di Iskandar Malaysia, penduduk di Johor akan turut merasai keuntungannya.

    

"Jika kita mahu melihat Iskandar Malaysia dan Johor maju, kita mesti bersikap terbuka terhadap semua pelaburan. Apa yang beza di antara pelaburan Singapura dan Amerika Syarikat, tiada bezanya, asal menguntungkan," kata beliau.

    

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pulai dan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan ketua Umno bahagian Datuk Nur Jazlan Mohamed.

    

Perdana Menteri juga meminta supaya tiada sikap tertutup dan berfikiran sempit berkenaan soal pelaburan asing ke negara ini khususnya daripada Singapura, kerana dunia kini berada pada abad ke-21.

Beliau juga memberi contoh, jika Amerika Syarikat membeli minyak sawit daripada Malaysia maka pihak yang merasai keuntungannya adalah Felda dan penerokanya.

    

Perdana Menteri berkata Felda juga tidak bankrap sebagaimana yang didakwa oleh parti pembangkang, tetapi sebaliknya pihak pembangkanglah yang mengalami "bankrap idea."

    

Malaysia, kata Najib, perlu bergerak ke hadapan di dalam usahanya untuk menjadi sebuah negara yang maju pada abad ke-21.

    

"Kita mahu melihat Malaysia maju dan moden di dalam abad ke-21, menjadi negara yang kreatif, inovatif dan bukan hanya menjadi jaguh kampung tetapi bersaing di persada antarabangsa," katanya.

    

Turut hadir pada majlis itu termasuk Pengerusi Young PAP Singapura Teo Ser Luck yang juga merupakan setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan republik itu dan Timbalan Speaker Majlis Perwakilan Rakyat Indonesia Mohamad Anis Matta.

- Bernama

ADS